Pages

Tuesday, 22 August 2017

FAIZAL HUSSEIN

FAIZAL HUSSEIN 


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog PSS. Empat bulan sudah PSS tidak menulis di blog ini. 

Oleh itu PSS belanja poster Faizal Hussein pelakon yang turut terlibat dalam filem Tombiruo yang akan ditayangkan di pawagam pada 12 Oktober nanti.

Untuk pengetahuan semua, Faizal Hussein juga ada menulis sebuah buku. 

Buku berjudul 'Lamelight Faizal Hussein'. Buku ini menceritakan bagaimana dia mengekalkan tahap profesionalisme dalam industri yang beliau ceburi.

Tidak silap PSS, buku ini telah diterbitkan pada tahun 2012. Diterbitkan oleh Bookcafe.





Wednesday, 12 April 2017

EKSKLUSIF : NOVEL TOMBIRUO EDISI KULIT KERAS

EKSKLUSIF : NOVEL TOMBIRUO EDISI KULIT KERAS


Ini bukan kali pertama novel dari penulis Ramlee Awang Murshid dalam bentuk edisi kulit keras (Hardcover). Sebelum ini dua novel dari karya beliau dalam naskah edisi kulit keras adalah 'Sunan Musafir' dan 'Sunan:Nanggroe Sang Pencipta'.

Namun kedua-dua novel ini adalah bersaiz novel biasa seperti edisi kulit lembut. Dan harganya tidak sama, agak mahal disebabkan kemasan pada kulit buku dan material yang digunakan. 

Tombiruo Trilogi edisi kulit keras adalah gabungan tiga buah novel yang disatukan menjadi sebuah novel. Jangan terkejut, saiz novel ini tidak sama dengan novel biasa di pasaran! Ia sebesar saiz kertas A4! Dan memiliki sarung kotak khas. Sangat ekslusif dan terhad edisi untuk kali ini. Memiliki ketebalan muka surat sebanyak 1024.

Nilai eksklusifnya ditambah lagi dengan setiap keluaran buku yang terhad ini, memiliki nombor siri. Jadi siapakah pembeli bertuah memiliki nombor siri 0001 agaknya? Kenapa ada nombor siri? Kerana edisi eksklusif ini dicetak dalam jumlah yang terhad sahaja dan tidak terdapat di mana-mana kedai di seluruh Malaysia. Dan ia tidak boleh dipalsukan sewenang-wenangnya. Mana mungkin ada dua naskah yang sama dengan nombor yang sama.

Nombor siri ini juga merupakan nombor khas yang anda miliki dan tidak dimiliki oleh mana-mana peminat Ramlee Awang Murshid yang berjumlah puluhan ribu orang itu. 

Maklumat terkini yang PSS terima terus dari seorang editor dari Karangkraf menyatakan, edisi ini diterbit sebanyak satu ribu naskah sahaja di dunia.

Harga bagi senaskah adalah RM399. Ia hanya dijual didalam talian oleh pengedar yang sah sahaja. Dan untuk lebih terperinci lagi, anda semua boleh ke Facebook rasmi Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC)




Monday, 10 April 2017

7 HARI MENCINTAIKU MENANG BESAR

7 HARI MENCINTAIKU MENANG BESAR



Tahniah PSS ucapkan kepada penulis novel Siti Rosmizah di atas kemenangan besar Drama adaptasi daripada novel beliau bertajuk 7 Hari Mencintaiku.

Drama 7 Hari Mencintaiku telah memenangi enam dari sembilan anugerah yang dipertandingkan. Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur telah berlangsung semalam di PICC Putrajaya.

PSS tercari-cari juga kelibat Siti Rosmizah di atas pentas, namun tiada. Pengacara pada malam itu ada meminta penulis novel turut serta naik ke pentas bagi meraikan kemenangan.

Berikut adalah senarai penuh pemenang anugerah DFKL 2017

 Aktor Pilihan: Shukri Yahaya (7 Hari Mencintaiku)


Aktres Pilihan: Mira Filzah (Cinta Si Wedding Planner)
Drama Pilihan: 7 Hari Mencintaiku
Pengarah Pilihan: Jamal Khan (7 Hari Mencintaiku)
Penulisan Skrip Pilihan: PGRs Team (7 Hari Mencintaiku)
Antagonis Pilihan: Izzue Islam (Patahnya Sebelah Sayap)
Pasangan Pilihan: Shukri Yahaya dan Siti Saleha (7 Hari Mencintaiku)
Lagu Pilihan: Lelaki Teragung - Dayang Nurfaizah (7 Hari Mencintaiku)
Drama Pilihan Tonton VIP: Meh Sandar Pada Aku

SITI ROSMIZAH

Melalui akaun rasmi facebook, beliau ada berkongsi catitan ucapan beliau sempena kemenangan ini,
Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Berkarya bukan mudah. Apabila jadi sebuah buku ibarat seorang ibu melahirkan anak. Semalam anak saya meraih kejayaan malangnya hak ibu itu cuba dinafikan. Walhal anak itu tidak diberi secara total pada orang. Wang ringgit dan keringat telah diberi demi menjaga dirinya. Namun sebagai ibu saya tetap bangga, saya tetap bahagia dan saya sentiasa doakan kejayaann
ya. Semalam air mata gembira mengiringi kejayaannya. Walau hati ini begitu dalam kelukaannya.


TAHNIAH ANAK MAMA! TAHNIAH 7 HARI MENCINTAIKU! MAMA BANGGA KERANA MAMA TELAH MENJAGAMU SETULUS HATIKU! WALAU SAAT KEJAYAAN DIJULANG MAMAMU HANYA MELIHAT DARI JAUH!

Jutaan terima kasih pada peminat-peminat novel 7 Hari Mencintaiku. Jutaan terima kasih pada TV3 yang memberi ruang untuk karya ini diadaptasi dan sokongan yang diberi. Hanya Allah yang akan membalas budi anda semua.


Novel 7 Hari Mencintaiku diterbitkan oleh syarikat beliau sendiri iaitu SR PUBLICATION.



Apa pun watak Buntat telah mensensasikan drama ini apabila watak beliau diakhir episod menjadi tumpuan, tular dan trending dimedia sosial. Ramai penonton terharu dengan nasib Buntat dalam drama ini. Di akhri episod, Buntat telah meninggal dunia akibat dipukul.


Wednesday, 29 March 2017

PESTA BUKU SELANGOR 2017

PESTA BUKU SELANGOR 2017


Pesta Buku Selangor kini kembali lagi. Marilah kita ke pesta yang bermanfaat ini. Dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan lumayan. Bermula pada 30 Mac sehingga 9 April.

Pelbagai jenis bahan bacaaan dari pelbagai penerbit dijual di Pesta Buku  Selangor ini. Bertempat di SACC Convention Centre



Wednesday, 22 March 2017

DALAM INGATAN P. RAMLEE 88 TAHUN HARI INI

DALAM INGATAN P. RAMLEE 88 TAHUN HARI INI



Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih atau lebih dikenali sebagai P. Ramlee dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang. Meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

Sepanjang hayatnya, beliau berjaya menghasilkan sebanyak 401 buah lagu dan 66 buah filem. Mendapat pengiktirafan antarabangsa Best Male Lead Role (Festival Filem Asia ke 4, Tokyo) dan Most Versatile Talent (Festival Filem Asia ke 10, Tokyo)

Chinta adalah filem pertama lakonan beliau pada tahun 1948. Manakala filem terakhir lakonan beliau adalah Laksamana Do Re Mi pada tahun 1972.

Pada hari ini, Google Malaysia telah memberikan penghormatan kepada beliau dengan mempamerkan 'Doodle' wataknya di muka hadapan enjin carian Google Malaysia.



Jasa beliau akan terus kekal dikenang dan dikagumi sehingga berdekad lamanya sampai bila-bila.

Tuesday, 21 March 2017

21 MAC HARI PUISI SEDUNIA

21 MAC HARI PUISI SEDUNIA


21 Mac telah diisytiharkan sebagai Hari Puisi Sedunia oleh UNESCO. Ramai di antara pembaca blog PSS pasti ada puisi kegemaran masing-masing. Begitu juga dengan PSS sendiri. Baru-baru ini, satu tajuk puisi telah menyentuh jiwa dan naluri PSS. Itu baru sahaja tajuknya, belum isinya.



Ia ditulis oleh Puan Sri Diah Shaharuddin. PSS pernah menemui beliau. Beliau seorang yang sangat powerful orangnya. Berikut adalah tajuk puisi itu.

Setuju adalah dusta yang panjang

Selain itu juga, lirik lagu terbaharu Yuna juga telah menarik perhatian PSS. Ia adalah mukadimah (intro) dalam lagu yang agak panjang. PSS suka bahagian pengenalan lagu yang bertajuk Unrequited Love atau dalam bahasa Malaysia membawa maksud Cinta Tidak Berbalas. 



Sometimes you find yourself trying to let go of something
But it's like you have been swimming in the ocean
For a very very long time
And you feel like you belong there
You are one with the waves
The warmth of the water
And your body moves in sync with the ocean
And you swim around just trying to stay afloat
Then you get tired and you start to drown
And you swim back to land
When you get there you just feel so heavy
Because you lost touch with gravity for so long
And you collapse on the beach
As you try to find balance again
And then your feet finds gravity
You stand up and you look at the horizon one last time
And just know that no matter how beautiful the sea was
And how good it made you feel it was never yours for you to keep
And someday's you will miss it, you know
And you feel yourself moving with the waves
And you dream of diving in
Then you realize your feet was meant for land
And not cut out for the ocean
Maybe you're meant to climb trees
Or hike hills or just run really fast
Letting go is not easy
There is nothing quite like swimming in the ocean
Just like how it's natural for your feet to find gravity
It's natural for you to let go
And find your true purpose in life again
The sea is the sea
And you are just you
I have to let go
But sometimes I find myself waking up at the beach again

Friday, 10 March 2017

KEKECOHAN DI PAVILION MALAYSIA DI RIYADH INTERNATIONAL BOOK FAIR (RIBF) 2017

KEKECOHAN DI PAVILION MALAYSIA DI RIYADH INTERNATIONAL BOOK FAIR (RIBF) 2017



Malaysia merupakan negara ASEAN pertama diundang Arab Saudi sebagai Negara Tetamu Kehormat (Guest of Honour) di Riyadh International Book Fair 2017.

Pavilion Malaysia yang berkeluasan 72 meter persegi akan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya persembahan Zapin dan muzik Ghazal pelajar Sekolah Seni Johor (SSJ), selain bacaan puisi dan demonstrasi karya.

Namun kekecohan kecil berlaku ketika tarian Zapin dipersembahkan sebagai acara kebudayaan Malaysia. Seorang warga Arab tiba-tiba membuat kecoh dengan mencampakkan mikrofon serta alatan muzik ke lantai sambil menjerit membantah acara tersebut.


Di dalam video yang berdurasi 0.34 saat itu turut kedengaran suara salah seorang delegasi Malaysia mempersoalkan tidak tanduk lelaki Arab itu.

"We are the guest of honour, you shouldn't treat us like this,"

Tindakan lelaki Arab itu turut dibantah oleh pengunjung Arab lain yang sangat teruja menonton persembahan Zapin itu.

Kenyataan Media berhubung perkara itu telah dijelaskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia


Malaysia merupakan negara ke-10 di dunia atau negara Asia ketiga selepas Jepun dan India ditawarkan sebagai Negara Tetamu Kehormat di pesta buku terpenting Arab Saudi ini.

RIBF 2017 akan berlangsung selama 10 hari bermula dari 8 sehingga 17 Mac. 

Maksud perkataan pavilion adalah / The meaning of pavilion is :
dewan hiburan, dewan untuk pemain

Thursday, 2 February 2017

NOVEL ASRAMA BAKAL DITERBITKAN DI INDONESIA

NOVEL ASRAMA BAKAL DITERBITKAN DI INDONESIA



Tahniah PSS ucapkan kepada penulis novel Muhammad Fatrim. Novel terlaris beliau terbitan Fixi bakal membolosi gawang pintu pasaran buku Indonesia. 

Novel ini telah mencipta rekodnya yang tersendiri apabila menjadi novel pertama terbitan Fixi yang terjual melebihi empat puluh ribu naskah.

Muhammad Fatrim


Dengan kepadatan penduduk Indonesia melebihi daripada 250 juta orang, bersediakah peminat genre seram dari negara seberang ini untuk merasai keseraman novel yang berjudul ASRAMA.

Melalui temubual eksklusif secara maya dengan penulis ini, banyak maklumat yang disalurkan tanpa rasa lokek dan PSS begitu senang sekali dengan beliau. 

Pada mulanya ia menjadi rahsia antara beliau dengan penerbitan Fixi mengenai hal ini. Beliau sendiri telah mendapat maklumat ini melalui aplikasi Whatsapp terus daripada Encik Amir Muhammad pada bulan Mei tahun lalu.


"Alhamdulillah. Secara tak rasmi pihak FIXI beritahu mengenai adaptasi ni pada 24 May 2016. Which is one of gift for my birthday masa tu" - Muhammad Fatrim

Tidak lama kemudian secara rasminya penerbit Fixi sendiri telah mengumumkan perkara ini di laman twitter rasmi mereka. 



Novel Asrama sedang diedit oleh Yoana Dianika, penulis novel dari Indonesia. Novel penulis ini pernah dialih ke bahasa Malaysia dengan tajuk Manisnya Cinta Mu. 

Sebelum ini novel bertajuk Gantung terbitan Fixi juga telah diterbitkan di Indonesia. Novel Gantung ditulis oleh Nadia Khan. 

Seperti mana novel Gantung, novel Asrama juga akan diterbitkan oleh Penerbit Haru. 








Thursday, 26 January 2017

AL-FATIHAH KARTUNIS POYO

AL-FATIHAH KARTUNIS POYO




Jumaat. 20 Januari 2017 lalu, satu berita mengejutkan buat PSS apabila diberitahu kartunis dengan gelaran nama Poyo, telah pun kembai ke Rahmatullah.

Melalui perkongsian status di facebook, punca kematian beliau disebabkan darah tidak sampai ke jantung.

Jenazah dikebumikan di Bukit Badak, Klang.

Pertama kali berjumpa beliau di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 2009. PSS sangat menyukai komik beliau dan PSS sendiri akui dan bersetuju komik yang beliau hasilkan adalah komik yang sangat lucu dalam semua keluaran komik syarikat penerbitan Komik M.



PSS pernah diusik (prank) oleh kartunis Poyo melalui panggilan telefon. Ia sangat melucukan dan menjadi kenangan.

Jefferi Abdul Rahman meninggalkan seorang isteri dan seorang anak.

Semoga roh beliau di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Al Fatihah.

Wednesday, 18 January 2017

DICEMUH, DIKECAM, DIHINA - NAIM TAMDJIS

DICEMUH, DIKECAM, DIHINA - NAIM TAMDJIS

Naim Tamdjis kanan bersama Encik Mohd Ali

Sangat menghairankan. Usaha dan kesungguhan novelis Naim Tamdjis untuk memerangi isu plagiat dipandang remeh oleh segelintir manusia dari kelompok penulis sendiri.
Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Hebat sangatkah mereka ini? Sudah menerima pelbagai anugerah berprestij sastera negarakah? Buku sudah diulang cetak belasan kalikah? atau... baru tiga kali mengecapi nikmat royalti dari hasil penat lelah menulis sebuah novel?
Beliau turut diberi gelaran Y.B Naj*s. Ini sangat melampau.
Luahan novelis Naim Tamdjis telah menarik perhatian PSS. Berikut beberapa luahan beliau yang sempat PSS kongsikan di sini.

Kenapa saya beria ia sangat. Sebab saya taknak industri buku kita jadi macam industri muzik, komik, majalah. Muzik kita tenat. Dah takde orang jual DVD sebab plagiat. Majalah hanya Karangkraf sahaja yang mungkin bertahan. Komik kitapun dah hancur. Sebab boleh baca online.
Jangan esok industri novel kita hanya tinggal sejarah

Kamu tahu. Dalam kes plagiat ni aku boleh mendiamkan diri. Sebab novel aku tak kena. Aku boleh goyang kaki. Layan awek awek media sosial tu. Tak payah aku nak pi Karangkraf. buang duit minyak. Minta penulis lain bersatu. hubungi penerbit lain sama sama pikir apa nak buat. Tak payah hubungi officiol laman web tu

Tapi sebab aku ni penulis. Pembaca. Darah aku menyirap tengaok hasil nukilan korang kena ciplak. Aku tolonglah. Tapi akhirnya aku kena perli. usha aku tak dihargai langsung. Malah memanggil aku dengan macam macam dan mengatakan aku bodoh.

Hasil dari kecekapan beliau, isu ini telah mendapat perhatian penerbitan gergasi di Malaysia. Malah ia telah mendapat liputan lima muka surat di sebuah akhbar tempatan. Dan terkini isu ini akan dibawa kepada tindakan yang lebih lagi dengan menggunakan akta yang sedia ada bagi menghukum pesalah laku dalam isu plagiat ini.


Pada 23 Januari 2017 ini, akan diadakan Sembang Gen-Y yang akan berlangsung di lokasi berikut. Pada jam 2.45 petang sehingga 4.30 petang.
Teh Tarik Place Seksyen 13
No. 8, Jalan Rugbi 13/30,
Seksyen 13, 40100 Shah Alam.



Friday, 13 January 2017

PENULIS SERANG PENULIS? APA KESUDAHANNYA?

PENULIS SERANG PENULIS? APA KESUDAHANNYA?


Gambar dari sumber Google

PSS bukanlah berniat untuk melagakan atau... mengeruhkan lagi situasi tidak sihat ini. Atau ada agenda tersembunyi untuk kepentingan PSS sendiri. Tidak ada langsung.

Industri penulisan Malaysia ini pun jika kita lihat... kita sedar ia berada di tahap yang bagaimana. Semua sedia maklum akan hal ini.

Setelah berfikir agak panjang, PSS berasa perlu untuk menulis tentang hal ini di blog yang dibangunkan sejak tahun 2012. Sehingga hari ini, memang tidak ada perkara yang sebgini PSS tulis di blog ini.

Kali ini, ia perlu ditulis kerana hal ini telah mendapat perhatian oleh seorang yang PSS hormati dan kagumi. Beliau bukan calang-calang orang dalam industri kita ini.

PSS tidak mahu panjangkan lagi apa yang sudah berlaku. Mungkin suatu hari nanti terkena pada PSS sendiri. Siapa tahu?

Kepada yang menjadi mangsa diharap bersabar dengan ujian ini dan yang berkenaan bolehlah ambil banyak pengajaran dari apa yang telah dikongsikan oleh Puan Sri Diah Shaharuddin di akaun Facebook beliau.

Kita semua harus berfikir sejenak dengan perkongsian beliau ini.

Berbeza sangat saya tengok gaya serangan dan teguran antara satu penulis dengan penulis lain di era sekarang.
Berbanding kami sesama penulis era 80-90-an, walau berkelahi ideologi, tidak sama prinsip dan teori namun masih dalam situasi berhemah. Jumpa di mana-mana tetap mesra.
Menilai sikap kelompok sekarang saya rasa takut. Celupar. Bongkak. Hidung tinggi. Kaki gaduh. Tidak boleh dikritik pembaca.

Kau ingat dik, menulis dan ilham ini anugerah Allah. Kalau anugerah itu tidak dihormati, kun kata Allah, sekelip mata bakat itu hilang.
Pembaca ini, mereka tengok status penulisan sosial kita dan bandingkan dengan peribadi kita. Kemudian lihat pula karya kita. Ada beberapa lapis penilaian di situ.
Jika ingin menjadi penulis yang diingati sepanjang zaman hingga kita sudah mati, ingat pesan saya ini.
Tulisan adalah cermin diri kita. Apabila kau pamer cermin retak, bukan setakat simpan, tengok pun orang tak mahu.






Monday, 9 January 2017

PENJUAL SATE ITU NOVELIS TERKENAL

PENJUAL SATE ITU NOVELIS TERKENAL



Selain menulis, setiap hari pakcik akan jual sate kerana ini sahaja pendapatan pakcik. Walaupun orang lihat kehidupan pakcik seperti serba kekurangan, pakcik gembira dengan kehidupan sekarang ni.
“Pelbagai pekerjaan pernah pakcik lakukan sebelum jadi penulis, termasuk jadi buruh, peniaga, pemberita di sebuah akhbar tempatan, selain jadi guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Perak,” 

Siapa sangka, seorang penjual sate di sebuah kedai makan di Jalan Kolam Air, Segamat adalah seorang penulis novel yang hebat pada masa lalu. 

Baharuddin Kahar ,71 hanya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan novel berjudul Senjakala yang diterbitkan pada tahun 1985. Ia hanya ditulis dengan menggunakan tangan dan dibantu oleh seorang rakan dan ditaip semula.

Pakcik terpaksa menyiapkannya dalam masa dua minggu kerana pada 1985, kerajaan Malaysia hantar pakcik untuk mengikuti kursus penerbitan di Turin, Itali dan di Hertlepool, England,”





















Novel Senjakala menerima anugerah Zamalah Sastera pada tahun yang sama novel itu diterbitkan. Malah beliau merupakan orang kedua penerima anugerah ini selepas Sasterawan Negara, Usman Awang.

Senjakala pernah menjadi buku teks sastera wajib bagi pelajar untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1988 hingga 1992.

Sehingga kini lebih daripada 10 buah novel beliau hasilkan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel Senjakala telah diulang cetak buat kali ke tujuh pada tahun lalu.




Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh beliau adalah, manuskrip novel berjudul 'Ceritera Dari Pinggir Taman' telah hilang dalam simpanannya pada tahun 2010.


Ketika itu novel tersebut sudah hampir disiapkan dan disebabkan masalah pada komputer riba, semua manuskrip itu hilang dan pak cik terpaksa menulis semula daripada awal dan novel tersebut diterbitkan pada tahun 2012,”

Beliau akan terus menulis selagi kudratnya ada dan ia akan dilakukan secara sambilan manakala berniaga menjual sate tetap dilakukan setiap hari bagi menyara kehidupannya. 


"Selagi ada kudrat, pak cik akan terus menulis dan menjual sate dan kadang-kadang ada juga pihak sekolah dan universiti yang menjemput pak cik untuk menyampaikan ceramah penulisan kreatif.


Pak cik lebih suka merendah diri dan kegembiraan pak cik apabila empat anak pak cik semuanya melanjutkan pelajaran ke universiti manakala anak kedua pula menunjukkan minat dalam bidang penulisan,"

Nama :
Baharuddin Buyung Kahar

Tarikh lahir :
24 Disember 1946

Asal :

Tanjung Rambutan, Perak


*artikel di atas dirujuk dari pelbagai sumber, antaranya Sinar Harian online dan Segamat.com.my  


Friday, 6 January 2017

MENGAPA APLIKASI BEETALK MENJADI MIMPI NGERI PARA NOVELIS?

MENGAPA APLIKASI BEETALK MENJADI MIMPI NGERI PARA NOVELIS?


Baru hari ke lima dalam tahun 2017, dunia penulisan menjadi riuh dengan isu plagiat. Ia mula menjadi trending semalam apabila ramai dikalangan novelis meluahkan rasa marah dan kecewa mereka di akaun facebook masing-masing.

Sudahlah tahun ini diramalkan jualan novel akan mengalami kemerosotan teruk, kini ia dengan sewenang-wenangnya diplagiat dengan mudah dengan menggunakan aplikasi BeeTalk.

Tinjaun PSS mendapati pengguna BeeTalk telah merakamkan gambar setiap helaian novel yang mereka beli dan memaparkannya semula pada aplikasi BeeTalk. Tujuannya adalah untuk berkongsi kepada pengguna BeeTalk yang lain. Malah ada diantara mereka sanggup menaip semula satu persatu

Berikut adalah perbualan seorang wakil penerbit dengan salah seorang pengguna BeeTalk yang telah melakukan salah laku ini. 





Ternyata, pesalah laku ini tidak memahami peringatan dari pihak penerbit diawal helaian setiap novel yang diterbitkan. 

"Hak cipta terpelihara.
Tiada bahagian dalam novel ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukar semula dalam bentuk atau alat apa jua pun, kecuali setelah mendapat kebenaran bertulis dari PENERBIT."


Dalam keributan dan keriuhan para novelis dengan isu ini, AnaBella Novelis telah mencadangkan kepada rakan novelis yang lain untuk menghubungi pengendali BeeTalk ini. Menurut AnaBella Novelis, pengendali BeeTalk ini akan membantu memadamkan paparan novel yang telah diplagiat yang menyalahi Akta Hakcipta 1987.



Semoga isu ini akan selesai dengan cara baik. Untuk menyiapkan sebuah naskah novel bukanlah perkara mudah. Hanya yang berbakat dan berjiwa kental sahaja dapat melakukannya. Malah ada diantara penulis novel yang PSS tahu, mengambil masa beberapa tahun untuk menyiapkan sebuah cerita yang menarik untuk para pembaca. 

Jadi, perkara seni ini bukanlah untuk diberikan secara percuma. Ia perlulah dibayar berdasarkan hasil usaha keringat mereka. 




Thursday, 5 January 2017

PERTEMUAN DRAMATIK DENGAN PENULIS THRILLER NOMBOR SATU MALAYSIA

PERTEMUAN DRAMATIK DENGAN PENULIS THRILLER NOMBOR SATU MALAYSIA


...kenderaan berwarna hitam metalik itu memberikan signal sebelum membelok ke kiri selekoh sebuah jalan. Seorang pengawal keselamatan bertubuh gempal menghampiri kereta Audi R8 itu. Perlahan-lahan cermin kereta dibuka secara automatik. Pemandu seorang lelaki. Memakai kaca mata hitam jenama Dolce and Gabbana.

Dua butir peluru tepat mengenai dahi dan leher pengawal itu. Bunyi tembakan kedengaran perlahan kerana pistol itu memiliki penyerap bunyi. Satu das lagi tembakan dilepaskan. Peluru itu telah merosakkan sistem pintu pelawang dan ia terus terbuka.

Audi R8 meluncur laju memasuki kawasan tempat letak kereta Kompleks Karangkraf.

"Selamat da..." ucapan selamat datang itu tidak dapat disempurnakan. Gadis di kaunter kedai Karangkraf Mall telah ditembak tepat di dahi. Sebelum ajalnya tiba, sempat dia melihat pembunuhnya. Lelaki itu memakai jaket kulit dan berkaca mata hitam. Pistolnya disimpan semula di dalam poket jaket.

Lelaki itu tersenyum apabila melihat sebuah rak tertera nama Ramlee Awang Murshid. Sebuah novel bertajuk 'Imaginasi' diambil. Plastik lutsinar yang membaluti novel dikoyak dengan rakus sekali. Bau novel itu dihirup sedalam-dalamnya. Dia kemudiannya ketawa puas.



Tanpa berlengah lagi, lelaki itu terus meluru ke dalam keretanya. Novel itu dilemparkan.

"tandatangan sekarang!" desaknya.

Lelaki itu ketakutan. Kaki dan tangannya telah diikat. Mulutnya pula ditutup dengan pita pelekat. Mengigil-gigil dia memegang pen berdakwat hitam itu.

Tiba-tiba seseorang telah mengehentak tengkuk lelaki berjaket itu. Dia terus pengsan dan ditarik keluar dari kereta.

"Tuan Ramlee Awang Murshid, ok?" soal wanita itu yang merupakan pengasas kelab peminat Ramlee Awang Murshid (RAMFC).

SEKIAN.

Assalamualaikum semua PSS ucapkan. Selamat datang tahun baru 2017. Jangan pening-pening. Apa yang anda baca di atas ini adalah rekaan semata-mata. Imaginasi dari PSS sendiri.

Permulaan 2017 sangat bermakna buat PSS secara peribadi apabila pada 3 Januari lalu, secara tidak sengaja dan tidak dirancang, PSS terserempak dengan penulis thriller nombor satu Malaysia.

Sebelum itu, PSS ke karangkraf Mall untuk memperbaharui kad diskaun. Seterusnya memilih secara rambang novel bertajuk Imaginasi karya Ramlee Awang Murshid. Semasa di dalam kereta di kawasan tempat letak kereta Kompleks  Karangkraf, PSS ternampak beliau. Rezeki sangat dapat jumpa penulis hebat ini. PSS tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan beliau.