Pages

Wednesday, 21 December 2016

NOVEL SATU JANJI YANG WAJIB ANDA MILIKI

NOVEL SATU JANJI YANG WAJIB ANDA MILIKI



Bukanlah satu amalan biasa buat PSS malah ia tidak ada dalam senarai agenda PSS untuk mengulas mana-mana novel yang diterbitkan di Malaysia atau di mana jua di pelosok muka bumi ini. Sejak tertubuhnya blog ini, tiada.

Pembaca dan pengikut tegar blog PSS pasti sedia maklum blog ini tidak pernah mengulas apa-apa novel kerana ia sesuatu yang biasa dibuat oleh kebanyakan blog penulisan lain. Jadi, PSS rasa tidak perlu menggalas tangungjawab itu.

Namun, ada sesuatu yang menarik tentang novel Satu Janji. PSS telah membacanya untuk buat kali ke dua. Kali pertama mengenalinya adalah sepuluh tahun yang lalu.

Novel ini adalah satu-satunya dari beberapa buah novel yang PSS beli tahun ini yang berjaya dihabiskan pembacaaan dalam masa dua hari.

Satu Janji mula dicetak pada tahun 2003 dan sehingga tahun 2016 ia telah dicetak buat kali ke 12!

Menurut isteri kepada Ramlee Awang Murshid, novel Satu Janji merupakan novel romantik pertama penulis thriller nombor satu Malaysia ini.

Benar, ia sebuah novel romantik yang indah. Di dalam membuai rasa romantik kepada pembaca, ia sebenarnya diselang-selikan dengan debaran dan aksi serta pelbagai persoalan yang secara perlahan-lahan terungkai sehingga ke akhir cerita.

Sebagai pembaca, PSS sendiri diperdayakan dari segi kepekaan, apabila dengan mengubah satu huruf pada nama dua orang watak menyebabkan andaian awal PSS silap sama sekali. Ramlee Awang Murshid sangat genius. Malah, PSS tersilap sangka siapa sebenarnya ibu Luqman dan mastermind disebalik kejadian pembunuhan Datuk Abdullah.

Sebenarnya agak sukar PSS nak mengulas novel ini, kerana cerita di dalamnya berlapis-lapis dan semua lapisan itu akhirnya menjadi satu dan saling berkaitan. Ini yang menyebabkan novel ini tersangatlah menarik dan tidak membosankan.

Bukan sahaja plot cerita yang menarik, malah novel ini memberikan pelbagai emosi kepada pembaca dan ia sangat memberikan kesan sepanjang menikmati jalan cerita novel ini. Emosi yang diterapkan sangat membantu dan ia adalah sebuah novel yang sangat berbaloi untuk dimiliki. PSS jamin anda akan puas.



Dan ini adalah sinopsis dari syarikat penerbitan novel ini.

Balas dendam, pencarian keluarga kandung, keadilan, kasih sebuah percintaan, air mata dan kesetiaan seorang lelaki yang bernama suami, adalah satu janji yang melingkari hidup Luqman. 

Tragedi pembunuhan ayah Luqman, telah membuka satu rahsia yang menjadi hijab jalur pengkhianatan. Pada ketika inilah Luqman menemui Adelia Mustapha. Kasih dan cinta Luqman, rupa-rupanya menjadi racun berbisa di hati Adelia.

Janji yang begitu teguh di hati Luqman akhirnya membawa musibah. Dengan segala kudrat, Luqman berusaha bangkit untuk menggapai janjinya semula. 

Dan di hadapannya ada seseorang yang telah menghulurkan tangan untuk membantu Luqman melaksanakan satu janji yang pernah terungkai.










No comments: