Pages

Thursday, 23 January 2014

PSS BUZZ! : SUNAN DATANG LAGI.

PSS BUZZ! : SUNAN DATANG LAGI.


Mengujakan dan fantastik. Kisah watak novel paling fenomena, paling dibicarakan di ruang maya oleh peminat Ramlee Awang Murshid, paling terkesan merasuk ke dalam jiwa setiap pembacanya. Watak lelaki budiman, warak dan gagah bernama Saifuddin atau panggilan lainnya iaitu Sunan, kembali datang lagi menemui peminat.

Novel terbaharu dari penerbitan Alaf 21, mempersembahkan SUNAN : Nanggroe Sang Kembara. Kepada yang tidak tahu, Nanggroe adalah nama keris milik Sunan.

Novel ini merupakan novel berangkai ke tujuh dari Ramlee Awang Murshid. PSS yakin, penulis ini banyak buat duit dari siri rangkaian novel ini.

Berikut adalah sinopsis novel SUNAN : Nanggroe Sang Kembara.

DEK kerana fitnah dan dihukum bapa sendiri, Saifudin menjadi perantau di bumi Serambi Mekah - Aceh. Banyak ranjau yang terpaksa dilalui sebelum bermukim di situ. Saifudin diangkat menjadi anak asuhan kepada Wali Sufi. Memilih mendalami agama Islam berbanding seni persilatan.

Di sinilah perawakan Saifudin terbentuk. Dari anak manja di Punggor berubah menjadi pemuda yang pendiam. Ajaran agama Islam banyak membentuk caranya bertingkah laku. Menjadi di antara kalangan pemuda yang taat berjemaah di musollah. Sentiasa mengiringi Wali Sufi ke mana-mana dalam menyelesaikan urusan. Juga menjadi pemberi minum di kalangan anak-anak murid guru persilatan terhebat itu. Hatta, sering menjadi mangsa buli Djailuh dan Sadik di gelanggang persilatan.

Kemunculan Ratna Sang Ratu Sulaman yang menyusup ke bumi Aceh dengan satu tujuan - Wali Sufi untuk menghancurkan keampuhan Aceh daripada serangan Kerajaan Pulau Utara yang sering kecundang di dalam kancah peperangan. Namun Ratna gagal melakukannya. Justeru, anak asuhan Maharani itu menyasarkan Saifudin. Membunuh Saifudin dipercayai bakal membunuh semangat juang Wali Sufi.

Rombongan kerajaan Pagar Ruyong tiba di Aceh. Engku Aminah, anak kerabat yang rupawan menjadi perhatian anak-anak muda negeri ini. Namun Engku Aminah memilih Saifudin kerana tertarik dengan akhlak terpuji pemuda itu. Bunga cinta mulai tumbuh subur. Engku Aminah mulai menyedari rasa kasihnya pada Saifudin biarpun dalam tempoh yang singkat. Namun Ratna muncul menjadi batu penghalangnya kerana ada sekelumit rasa cemburu membajai jiwanya.

RAMLEE AWANG MURSHID menerapkan unsur cinta dalam karyanya kali ini. Cinta yang terkawal peradabannya. Cinta bersifat fitrah. Jarang sekali rasa cinta itu muncul bermula dari kebencian. Namun itulah yang berlaku. Cinta tiga segi antara Saifudin, Engku Aminah dan Ratna Sang Ratu Sulaman. Cinta yang wujud dari peperangan, kemarahan dan dendam. Penuh aksi mendebarkan. Digelumangi magis dan kesaktian. Pelayaran dan pengembaraan yang terasa menggugah rasa hati.

novel berangkai kisah perjalanan lelaki bernama Sunan

Kepada yang belum atau baru mula hendak kenal novel berangkai ini, PSS rasakan agak rugi jika pembaca semua tidak mendapatkan enam novel sebelumnya. Novel ini seperti perjalanan kisah yang panjang. Mengandungi pelbagai peristiwa menakjubkan di setiap rangkaian tajuk novel yang diterbitkan. 

Jadi, atas faktor kepuasan dan inginkan sebuah cerita yang lengkap dan hebat, sila dapatkan enam novel sebelumnya termasuklah yang ke tujuh ini. Jangan menyesal, kerana novel ini sangat menarik penuh dengan aksi, magis, pertarungan, cinta, thriller dan pelbagai lagi. Berbaloi-baloi duit anda untuk membelinya.

PSS sendiri sudah baca dan memiliki semua rangkaian novel ini. Terbaik!

Seperti yang dirisik oleh PSS, tarikh novel ini berada dipasaran, tidak diketahui lagi dan masih menjadi rahsia dan tandatanya. Cuma, pembaca bolehlah membuat pre-Order terlebih dahulu.

Untuk maklumat lanjut sila klik kelabRam

Anda juga boleh klik mall-karangkraf


No comments: