Pages

Saturday, 24 August 2013

FK TIDAK SANGKA TERIMA ROYALTI LAGI

FK TIDAK SANGKA TERIMA ROYALTI LAGI


FK bersama penyata royalti 

Khabarnya, FK menerima royalti lagi. Siapa FK ini? Hanya mahu dikenali sebagai FK, beliau sebelum ini pernah menulis hanya dua buah novel dan satu cerita pendek. Menceburi bidang penulisan pada tahun 2006. Buku pertamanya terbit pada tahun 2007. Buku ke duanya pula terbit pada tahun 2008.

Sejak itu beliau senyap dari dunia penulisan. Apakah yang berlaku sebenarnya. Mari kita terjah.

PSS:Apa perasaan FK, apabila menerima royalti?

FK:Alhamdulillah, syukur pada yang Maha Esa. Terima Kasih kepada pihak penerbit yang masih memberikan royalti kepada saya. Ini merupakan kali ke empat saya menerima royalti untuk tempoh empat tahun berturut-turut. Saya tak sangka boleh dapat royalti lagi walaupun sudah lama tidak menulis. Untuk rekod cek royalti, ini adalah ke lima tambah lagi dari satu syarikat yang dulu. Apapun, yang orang ingin tahu jumlah royalti.

PSS:Pasti banyak.

FK: Alhamdulillah, menerima secara konsisten selama empat tahun berturut-turut. Syukur. Banyak atau sikit bergantung kepada apa yang kita sudah hasilkan. Mahu banyak, tulislah karya yang menarik dan memenuhi selera pembaca. Pihak penerbit dan editor tahu apa kehendak pasaran, jadi berbincanglah dengan mereka supaya menghasilkan karya yang boleh dijual dan menghasilkan pulangan yang baik. Jumlah royalti sangat sensitif, kebanyakkan orang akan tunjuk cek tidak pada jumlah.

PSS:Apa pendapat FK tentang menulis secara sambilan atau secara tetap?

FK:Berbeza dari segi penggunaan waktu dan keadaan penulis itu sendiri. Namun perkaranya sama iaitu menulis. Macam saya, menulis secara sambilan kerana saya ada perkerjaan hakiki (tetap). Ia sangat mencabar sewaktu saya mula menceburi dunia penulisan ini. Waktu yang sangat padat. Biasanya kalau rajin selepas balik kerja, rehat dan terus menulis demi mengejar tarikh akhir yang ditetapkan. Berbeza dengan penulis tetap, saya tak pasti namun saya yakin mereka ada banyak masa memandangkan fokus utama mereka adalah pada pekerjaan menulis.



PSS:Mengapa FK menyepi dari dunia penulisan. Tiada buku barukah?

FK:Dalam bidang ini, kita harus serius melakukannya. Tidak kira sambilan atau tetap. Kepuasan mungkin perkara ke dua pada mereka yang menjadikan penulisan sebagai sumber pendapatan utama. Menulis untuk kepuasan diri sendiri atau mencari nama, sudah berlalu. Menulis perlu ada strategi bagi memastikan setiap karya yang ditulis menghasilkan pulangan yang berganda-ganda. Kita harus ingat, karya kita juga menyumbang kepada gaji mereka yang terlibat dalam penerbitan bagi menerbitkan buku kita. Contoh terbaik yang saya lihat penerbit BLINKBOOK. Mereka sangat berdisiplin. Setiap buku yang mereka hasilkan, pasti akan memaksimumkan keuntungan kepada syarikat seterusnya memberikan pulangan kepada pekerja, penulis mereka sendiri.  Berbalik kepada soalan PSS tadi, jawapannya ialah saya tidak serius melakukannya. Waktu itu saya terlalu muda, tidak tahu hala tuju, sekarang pula mungkin saya merasakan saya setiap bulan dapat gaji dari pekerjaan saya. Macam besar pula gajikan? Tetapi situasi sekarang melihat rakan-rakan penulis menerima royalti puluhan ribu, membuatkan saya bersemangat. Saya tidak akan biarkan mereka sahaja yang mampu menyedut duit para pembeli, saya pun mahu juga (hihihi). Saya masih menunggu jawapan dari pihak penerbit mengenai manuskrip cerita kanak-kanak saya. InsyaAllah, semoga diterima.

PSS:Apa yang boleh FK katakan kepada mereka yang ingin menjadi penulis di luar sana.

FK:Sesiapa sahaja boleh jadi penulis. Menulis blog, surat, sms dan sebagainya. Untuk menjadikan menulis sebagai sumber pendapatan utama, kenalah serius melakukannya. Mahu dapat royalti banyak puluhan ribu malah ratusan ribu ringgit, tulislah karya yang berkualiti dan disukai ramai. Tulislah buku banyak-banyak, ia seperti ladang, hasilnya royalti yang kita akan tuai. Kita bukan hanya menulis tapi kena pandai membuat promosi karya sendiri bagi memaksimumkan keuntungan. Karya yang berkualiti dan menarik pasti menjadi bualan ramai dan dari situ akan dapat nama dengan sendirinya. Namun kita jangan lupa apa yang kita tulis pasti akan disoal diakhirat kelak. Bertangungjawablah dengan apa yang kita hasilkan untuk tatapan pembaca di luar sana.
cek royalti yang diterima

Keseluruhan dari temubual ini PSS lihat, FK cuba memberitahu, kita kena serius dalam melakukan apa sahaja pekerjaan. Untuk mendapatkan hasil yang bagus, kena ada strategi dan kerjasama. Teringat PSS dengan penulis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid. Pada awalnya karya beliau banyak ditolak oleh pihak penerbit, namun berkat kesabarannya, beliau kini penulis yang menerima royalti paling banyak.




2 comments:

baby comel said...

Thanks sharing. Betul, kena serius baru betul2 blh berjaya kan.

jejari kucing said...

betul tu :)