Pages

Monday, 5 August 2013

AMER MUKHLIS PANDAI BUAT BISKUT CORNFLEKS

AMER MUKHLIS PANDAI BUAT BISKUT CORNFLEKS



Amer Mukhlis yang begitu popular dengan novel sulungnya Doa Cinta Hersalina tahun ini khabarnya beraya dengan baju Melayu cekak musang berwarna merah hati. Wah, sangat menyerlah warna pilihan beliau. Menyerlah seperti karyanya. Namun beliau mengatakan lebih selesa mengenakan Kurta.

Pada yang tidak tahu, Amer Mukhlis sangat sukakan kuih tart nenas dan semperit. Biasanya hanya pelbagai jenis kerepek sahaja yang dibeli selebihnya kuih raya dibuat sendiri. Amer Mukhlis bukan sahaja berbakat mengarang novel, tetapi beliau juga ada kemahiran membuat kuih raya cornflakes. Selain itu juga Amer Mukhlis gemar memasak masakan barat dan tradisional Melayu.


Apa agaknya juadah dipagi raya yang biasa Amer Mukhlis dan sekeluarga hidangkan?

"selalunya lemang dan rendang memang mesti ada. kalau di kampung, saya jamu dengan sup tulang, ketupat palas, kuah kacang dan nasi impit serta lontong"- Amer Mukhlis

Menarik sungguh hidangan dipagi raya Amer Mukhlis sekeluarga. Berbalik kepada novel sulungnya, Doa Cinta Hersalina adalah karya yang menjadikan isu anak tidak sah taraf sebagai tunjang cerita. Sedikit sinopsis tentang novel Doa Cinta Hersalina.

Kata Rita, kelahiran Hersalina adalah satu kesilapan. Sebab itulah Hersalina dinafikan hak seumur hidup. Kata Mak Timah, Hersalina tidak bersalah. Dia adalah mangsa dari kecurangan Rita dengan lelaki lain. Semuanya bukan dia yang pinta, apatah lagi lahir dalam keadaan yang mengaibkan. Hersalina adalah sejarah hitam yang Rita mahu lupuskan terus! Kerana satu persitiwa pahit, Hersalina dipersalahkan. Saat dirinya dirogol, ia bagaikan mengulang sejarah hitam penipuan ibunya dahulu. Dan saat Hersalina disahkan mengandung, dia nekad ingin membesarkan benih dalam kandungannya walaupun nyawanya hampir melayang dibelasah oleh keluarganya sendiri! Meskipun pedih, rengsa dan derita, dia tahu hidupnya berputar bersama caturan takdir-Nya, sehingga ke garisan akhir dia terpaksa merelakan segalanya. Bukankah setiap penderitaan akan ada jalan kebahagiaan. Tapi sampai bila dia harus menanti. Adakah sehingga dia tiada lagi di dunia ini barulah kebahagiaan dapat dikecapi? Adilkah dia dihakimi hanya kerana kisah hitam orang lain? Hersalina punya perasaan, ingin bahagia bersama insan yang disayanginya.

Sungguh malang nasib yang menimpa Hersalina ini. Tambah Amer Mukhlis lagi, novel keduanya yang bertajuk Oh Cik Hati pula mengangkat isu hubungan sebelum bernikah bagi pasangan yang sedang bercinta. Menurutnya lagi novel Oh Cik Hati sudah siap dan telah pun dihantar kepada penerbit. Oh Cik Hati adalah sebuah novel bergenre romantik komedi.

"Novel ke dua bertajuk Oh Cik Hati, sudah dihantar dan sedang dinilai oleh editor Buku Prima. mungkin tahun depan keluarnya. dalam pada itu, saya buat manuskrip yang lain, hampir siap. tajuknya  adalah Selalu Pernah Ada"-Amer Mukhlis

Novel Selalu Pernah Ada pula, Amer Mukhlis menjadikan isu kesan-kesan hubungan tanpa ikatan sehingga terlanjur sebagai asas cerita. Kesimpulannya ketiga-tiga novel dewasa karya beliau adalah mengenai masalah sosial. Pastinya banyak pengajaran yang beliau terapkan pada setiap karyanya supaya menjadi peringatan dan kesedaran buat pembaca.

Minat untuk menulis timbul setelah beliau membaca karya penulis Tere Liye. Sebanyak hampir RM500 ringgit diperuntukkan untuk membeli novel yang disukainya. Sebenarnya Amer Mukhlis tidaklah gemar membaca novel namun novel karya Tere Liye mengubah segalanya. Amer Mukhlis akhirnya menemui genre yang sesuai untuknya menulis.

"saya belajar menulis melalui pembacaan. dari situ timbul minat menulis apabila melihat para penulis yang ada terdiri daripada pelbagai latar belakang pendididkan berbeza. kalau orang lain boleh buat saya pun boleh buat."- Amer Mukhlis.

Manuskrip Aku Bukan Bibik khabarnya dihentikan buat sementara waktu. Sebaliknya Amer Mukhlis akan memulakan projek penulisan novel remaja apabila tiba masa yang sesuai.

"SELAMAT HARI RAYA, maaf zahir dan batin, semoga lebaran ini memberikan lebih harapan dan dorongan untuk lebih berjaya. Lupakan semua kesilapan semalam dan hiduplah sebagai manusia yang baru."- Amer Mukhlis

Begitulah ucapan hari raya dari Amer Mukhlis untuk semua para peminatnya. Diharap Amer Mukhlis terus berjaya dan menjadi penulis tersohor di Malaysia suatu hari nanti.

Pembaca PSS bolehlah melawat ke blog karya Amer Mukhlis di http://koleksiamermukhlis.blogspot.com

Selain itu juga boleh ke blog peribadi beliau di http://amermukhlis89.blogspot.com