Pages

Wednesday, 28 August 2013

RUNNING MAN VERSI KOMIK? : DALAM BAHASA MALAYSIA

RUNNING MAN VERSI KOMIK? : DALAM BAHASA MALAYSIA






Berita baik buat peminat rancangan game show Running Man. Rancangan TV realiti permainan yang paling popular di Korea yang ditonton jutaan peminat diseluruh dunia ini akan datang dalam bentuk komik. PTS PUBLICATION syarikat penerbitan yang diberi hak menterjemahkan komik Running Man ke dalam Bahasa Melayu, bahasa rasmi negara Malaysia.


PSS pasti ramai yang melompat-lompat dan tidak sabar untuk mendapatkan komik Running Man ini. Apabila tonton program Running Man di kaca televisyen, kita boleh ketawa dengan aksi-aksi para perserta yang terdiri daripada selebriti Korea. Debaran dipaparkan secara visual. Namun bagaimana dengan komik pula? Nantikan kemunculan komik Running Man ini.

Setiap peminat program Running Man harus memiliki komik ini sebagai koleksi peribadi.

Di dalam komik ini, misi mereka ialah menyelamatkan seorang penyanyi Korea yang terkenal. Yoona telah diculik oleh Prof. Blagoose yang mahu menguasai dan menyebarkan kuasa kegelapan ke seluruh dunia.
Yoona

Kenapa Prof. Blagoose menculik Yoona? Kemerduan suara dan jeritan kesakitan Yoona yang akan menjadi senjata bagi menjayakan misi jahatnya itu.

Komik dilukis oleh Kim Moon Sik. Mencuit hati bukan? Nantikan kemunculan komik ini di pasaran. Diterbitkan oleh PTS POP SDN BHD.




DI MANA SAHAJA DENGAN KARYA TERBAHARU SALLEH DE RAN

DI MANA SAHAJA DENGAN KARYA TERBAHARU SALLEH DE RAN



Ebook bertajuk PANGGUNG MALAYA kini boleh di dapati di e-book central. E-book bermaksud buku eletronik yang boleh dibaca di mana sahaja melalui iPhone, iPad,PC,Mac dan Android. Terbitan dalam bentuk digital. Daripada sinopsis, nampaknya Panggung Malaya adalah sebuah karya yang serius. Jom kita baca sinopsisnya.

Dibawah jenama iDya terbitan KarnaDya Solution

Sinopsis:

SALLEH DE RAN
Pada tahun 1946, dunia bangsawan mengalami zaman pudar, kegemilangan sedikit demi sedikit semakin merosot, malah minat khalayak untuk menontonnya juga merudum. Perubahan lebih ketara apabila dunia perfileman muncul mengambil alih medium hiburan ketika itu.

Peralihan drastik medium ini menjadi tamparan hebat kepada anak-anak bangsawan yang mencari makan sepenuhnya hasil keringat melalui lakonan dunia bangsawan. Hakikat kehilangan khalayak terpaksa ditelan oleh pengusaha dan pelakon bangsawan kerana satu demi satu kelompok bangsawan terpaksa gulung tikar.

Puteri Dean Bangsawan yang mewakili kelompok malang ini terpaksa akur menghadapi situasi dan kemelut era kejatuhan. Penaung Puteri Dean Bangsawan iaitu Pak Kassim serta anak buahnya Bakhtiar, Suhara dan pelakon lain cuba mempertahankan minat pelakon dan penonton supaya tidak beralih minat mereka ke dunia perfileman.

Bak kata pepatah; langit tidak selalu cerah, andaian Pak Kassim meleset sama sekali kerana Pak Kassim gagal mempertahankan dunia bangsawan untuk terus kekal diminati dan dikagumi. Tindakan drastik puteri bangsawannya, Suhara terjun ke dunia perfileman menyebabkan Pak Kassim hilang hala tuju. Suhara, anak didik Pak Kassim sejak dahulu lagi adalah nadi utama penggerak Puteri Dean Bangsawan.

Satu demi satu kejadian berlaku kepada kumpulan bangsawan itu, sehinggalah masing-masing mula nekad untuk meninggalkan dunia bangsawan yang selama ini menjadi tempat mereka mencari rezeki.

Suhara, yang telah berpaling tadah pada kumpulan bangsawannya terpaksa melalui pelbagai peristiwa yang tidak dijangka hanya kerana sudah bergelar seorang bintang filem.
Apakah kejadian dan peristiwa yang berlaku itu? Hinggakan ada yang sanggup berbunuhan? Sama-sama kita ikuti kisah klasik 'Panggung Malaya' yang lain daripada lain ini.


Salleh De Ran juga sebelum ini ada menulis beberapa karya dalam bentuk buku fizikal. Antara karya buku fizikal dibawah jenama PTS PUBLICATION, calon-calonnya adalah, (tiba-tiba sahajakan? huhuhu) PSS lihat karya Budak Ladang dan Oh New Zealand nampak lebih santai.


PTS PUBLICATION

Saturday, 24 August 2013

FK TIDAK SANGKA TERIMA ROYALTI LAGI

FK TIDAK SANGKA TERIMA ROYALTI LAGI


FK bersama penyata royalti 

Khabarnya, FK menerima royalti lagi. Siapa FK ini? Hanya mahu dikenali sebagai FK, beliau sebelum ini pernah menulis hanya dua buah novel dan satu cerita pendek. Menceburi bidang penulisan pada tahun 2006. Buku pertamanya terbit pada tahun 2007. Buku ke duanya pula terbit pada tahun 2008.

Sejak itu beliau senyap dari dunia penulisan. Apakah yang berlaku sebenarnya. Mari kita terjah.

PSS:Apa perasaan FK, apabila menerima royalti?

FK:Alhamdulillah, syukur pada yang Maha Esa. Terima Kasih kepada pihak penerbit yang masih memberikan royalti kepada saya. Ini merupakan kali ke empat saya menerima royalti untuk tempoh empat tahun berturut-turut. Saya tak sangka boleh dapat royalti lagi walaupun sudah lama tidak menulis. Untuk rekod cek royalti, ini adalah ke lima tambah lagi dari satu syarikat yang dulu. Apapun, yang orang ingin tahu jumlah royalti.

PSS:Pasti banyak.

FK: Alhamdulillah, menerima secara konsisten selama empat tahun berturut-turut. Syukur. Banyak atau sikit bergantung kepada apa yang kita sudah hasilkan. Mahu banyak, tulislah karya yang menarik dan memenuhi selera pembaca. Pihak penerbit dan editor tahu apa kehendak pasaran, jadi berbincanglah dengan mereka supaya menghasilkan karya yang boleh dijual dan menghasilkan pulangan yang baik. Jumlah royalti sangat sensitif, kebanyakkan orang akan tunjuk cek tidak pada jumlah.

PSS:Apa pendapat FK tentang menulis secara sambilan atau secara tetap?

FK:Berbeza dari segi penggunaan waktu dan keadaan penulis itu sendiri. Namun perkaranya sama iaitu menulis. Macam saya, menulis secara sambilan kerana saya ada perkerjaan hakiki (tetap). Ia sangat mencabar sewaktu saya mula menceburi dunia penulisan ini. Waktu yang sangat padat. Biasanya kalau rajin selepas balik kerja, rehat dan terus menulis demi mengejar tarikh akhir yang ditetapkan. Berbeza dengan penulis tetap, saya tak pasti namun saya yakin mereka ada banyak masa memandangkan fokus utama mereka adalah pada pekerjaan menulis.

Friday, 23 August 2013

CHEF ADU DENGAN IKAN DI LAUT ASAM DI DARAT

CHEF ADU DENGAN IKAN DI LAUT ASAM DI DARAT






Siapa yang tidak kenal dengan Chef Adu, tukang masak profesional yang sentiasa bergaya dan kemas dalam penampilannya di kaca televisyen ini. Mula dikenali dalam program MasterChef disaluran Astro. Beliau bertindak sebagai juri di dalam program realiti memasak paling popular di Malaysia itu.

Jom baca profile Chef Adu Amran yang memiliki suara husky ini.


Chef Amran mendapat latihan sebagai chef di Stamford College di Kuala Lumpur, Chef Amran mendalami bidang masakan klasik Perancis. Kemudian, beliau melanjutkan latihannya sebagai chef di Carcosa Seri Negara, salah satu hotel bertaraf lima bintang di kota Kuala Lumpur.
Pencapaiannya dalam bidang masakan bermula dengan pembukaan dua buah restoran miliknya iaitu Champor-Champor di Langkawi pada tahun 1994 dan sebuah lagi restoran Champor-Champor London Bridge di kota London pada tahun 2000. Kedua-dua restoran ini telah mendapat beberapa pengiktirafan, anugerah serta ulasan yang menakjubkan. Ketika restoran Champor-Champor London Bridge beroperasi, Chef Amran juga menjalankan kelas masakan yang popular setiap hari Sabtu. Kelas masakan ini menumpukan masakan Melayu, Malaysia dan juga hidangan-hidangan "Champor-Champor"
Selain itu, Chef Amran terlibat dalam beberapa demonstrafi masakan memperkenalkan masakan Malaysia seperti di Selfridges, Oxford Street di London, Masterchef Live di Olympia, London dan di International Food Exhibition (IFE) di Excel.
Selama lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang masakan, Chef Amran menjelajah hampir kesemua negara Asia Tenggara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Burma, Cambodia, Laos, Vietnam, China, India dan Sri Lanka. Ketika pengembaraan ini, Chef Amran banyak belajar tentang keindahan masakan tempatan dan juga resepi-resepi rahsia mereka.-sumber Astro MasterChef

Kini Chef Adu menulis sebuah buku masakan yang mengandungi 61 resepi menarik bercitarasa Malaysia. Juga turut dimuatkan tip dan ilmu masakan. Buku masakan Ikan di laut Asam di darat.

Di dalam buku masakan ini turut memuatkan  hidangan lengkap yang telah mendapat anugerah 'UK Best Dishes Awards' dalam kategori 'Kari'. Anugerah diterima pada tahun 1997 untuk Restaurant Magazines Awards, seluruh United Kingdom.
sumber google

Menurutnya, ia adalah antara hidangan paling penting yang direka olehnya. Filet Leher Kambing bersama Perapan Sate, Kurma Akar Kiambang, Jeruk Sengkuang Cina dan Nasi Pilau. Hidangan lengkap ini pernah disajikan direstoran miliknya.

Jangan tak tahu, Chef Adu juga ada jenama pakaiannya sendiri. Jenama Aduh! by Adu. Pakaian baju Melayu yang sangat berkualiti yang direka olehnya. Baju dijahit oleh adik perempuannya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang jahitan.

Dapatkan buku masakan bercitarasa Malaysia yang berkualiti ini. Diterbitkan oleh Galeri Ilmu.

Pautan berkaitan http://www.galeriilmu.com/info-produk/buku/buku-panduan




Wednesday, 21 August 2013

AZZAH ABDUL RAHMAN DALAM MAJALAH NUR EDISI SEPTEMBER 2013

AZZAH ABDUL RAHMAN DALAM MAJALAH NUR EDISI SEPTEMBER 2013



Pengasas dan pengurus Digital Apprentice Management Services. Konsultan idea bagi Nuun Creative Books. Jurulatih bertauliah Akademi Hero. Berpengalaman sebagai Ketua Jurulatih Modul Kenegaraan & Khidmat Komuniti dan Ketua Penyelaras Khidmat Komuniti PLKN. Menjadi jurulatih pelbagai program nasional. Berpengalaman sebagai pengurus projek dan pengurus acara. Penulis buku motivasi dan novel remaja. Naib Presiden II , Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) .
Cikpuan Azzah Abdul Rahman

Insan hebat yang dimaksudkan di atas ialah Cikpuan Azzah Abdul Rahman. Dikenali juga dengan nama lain seperti azuzafu dan Izzat. Mengundang perhatian dengan novel sejarah tulisan beliau yang telah membuka minda ramai pihak tentang seorang srikandi pejuang kemerdekaan yang tidak dijulang . Novel sejarah bertajuk Shamsiah Fakeh : Pejuang, Pemimpin dan Perempuan. Shamsiah Fakeh dikatakan menyertai rejimen ke 10 Parti Komunis Malaya. Perjuangannya menentang penjajah British ketika itu. Untuk mengetahui kisah sebenar, dapatkanlah buku tulisan Azzah AR ini. Terbitan PTS Litera sdn bhd.



Melalui akaun Facebook miliknya, beliau telah berkongsi cerita mengenai artikel tentang dirinya yang telah tersiar di dalam Majalah Nur edisi September 2013. Dalam segmen kerjaya pilihan.

Majalah Nur adalah terbitan syarikat penerbitan terunggul di Malaysia iaitu Kumpulan Karangraf sdn bhd. Majalah Nur ini sasarannya untuk siapa sebenarnya? Jom kita baca sedikit tentang majalah Nur.
gambar dari akaun facebook beliau

Aktif, yakin, anggun. Majalah untuk Muslimah berkerjaya dan mengamalkan cara hidup Islam.

Dibawa dengan pendekatan Islami, moden, dinamik dan informatif. Wadah pemikiran baru bagi 

Muslimah masa kini. Sesuai sebagai rujukan dan teman setia.- Majalah Nur




Tuesday, 20 August 2013

BUNGA-BUNGA KEMBOJA DRAMA ADAPTASI NOVEL PENULIS AINA EMIR.

BUNGA-BUNGA KEMBOJA DRAMA ADAPTASI NOVEL PENULIS AINA EMIR.


Tahniah diucapkan kepada novelis Aina Emir. Novel beliau bertajuk Bunga-Bunga Kemboja sudah pun ditayangkan di TV1. Drama sebanyak 13 episod ini akan berakhir pada 22 Ogos 2013. Isnin hingga Khamis jam 11 pagi.

Novel ini diterbitkan oleh KarnaDya Solution.

Sinopsis:

Kekecewaan kerana gagal cinta pertama membawa Nabil ke negara Kemboja. Niatnya adalah untuk berjihad. Namun, di sana, dia bertemu dengan sesuatu yang mengubah hidupnya. Dalam begitu, dia keliru bila tiba-tiba tersepit antara cinta lama dan perasaan sayang yang mula menjelma.
"Cinta itu adalah rasa yang harus diberi dan dikongsi" - Bunga-Bunga Kemboja



Untuk makluman semua, kulit novel ini sebenarnya berwajah baru. Nampak lebih segar berbanding yang sebelumnya.


Ada banyak lagi novel yang sudah ditulis oleh novelis Aina Emir antaranya Hanya Kita Berdua, Seharum Kasih, Setulus Janji, Beautiful Asmara, Aura Cinta dan beberapa buah novel lagi.

Menerusi blog beliau, Aina Emir meluahkan sedikit rasa kekecewaan berkenaan ramai pembacanya tidak tahu kewujudan drama ini.

"Ya, saya dapat banyak emel dan juga message di Facebook, pembaca saya ramai yang terkilan kerana tak dapat menonton drama Bunga-Bunga Kemboja. Ramai yang tak tahu tentang hal TV1 sedang tayang drama itu. Saya juga terkilan, tapi tak apa kot. Walaupun saya dimaklumkan bahawa drama ini akan berakhir pada 22 Ogos, mungkin tarikh itu tak tepat kot, sebab setahu saya, semalam ialah episod ketiga, jadi hari ini ialah episod keempat. Kalau diikutkan, slot Bidadari hanya ke udara dari Isnin hingga Khamis setiap minggu. Jadi, mungkin tak tamat pada 22 Ogos kot. Apa-apa pun, sebenarnya drama ini sepatutnya ditayangkan di RTM2, seperti Kau Laksana Bulan dulu, tapi saya tak tahu kenapa ditayangkan di RTM1, mungkin kerana bulan raya kot. Apa-apa pun, saya juga dimaklumkan bahawa RTM2 akan siarkan semula, tetapi saya tak tahu tentang tarikhnya."-Puan Aina Emir

Jangan kecewa pula kerana drama adaptasi novel ini akan ditayangkan semula di TV2. Pelakon utama yang membintangi drama ini ialah Ako Mustapha, Kris Cempaka dan Hanez Suraya.

Ako Mustapha
Novel Aina Emir bertajuk Kau Laksana Bulan, sebelum ini juga telah dijadikan drama dan ditayangkan di TV2. Pelakon terkenal yang terlibat adalah Ayu Raudhah.



Boleh ke laman KarnaDya http://store.karnadya.com.my/

Monday, 19 August 2013

MISTERI DAN THRILLER TERBAIK DARI ALAF 21 DAN BUKU PRIMA

MISTERI DAN THRILLER TERBAIK DARI ALAF 21 DAN BUKU PRIMA 

Oktober nanti akan berlakunya kemunculan empat buah novel bergenre misteri dan thriller. Pasti peminat buku bergenre ini tidak sabar menanti santapan imaginasi terbaik dari penerbit Buku Prima dan Alaf 21. Kedua-duanya dibawah satu syarikat penerbitan gergasi dan terulung di Malaysia iaitu Karangkraf.

Mari kita baca sinopsis tiga buah novel ini. Sinopsis novel MAGIS sudah pun didedahkan sebelum ini.

DENDAM RATU ULAR:

Kaira,gadis malang yang menjadi mangsa hinaan penduduk kampung disebabkan fizikalnya yang cacat dan hodoh. Akibat perbuatan khianat Kalsum yang sekian lama menyimpan dendam terhadap keluarganya, rumahnya dibakar. Neneknya terbunuh dalam kejadian itu. Kaira yang terselamat dari bencana itu kini hilang tempat bergantung hidup. Dia membawa diri jauh dari kampung bersama segunung rasa sedih dan dendam yang berapi.
Segalanya berubah apabila dia dihumban ke dalam sebuah perigi buta oleh satu kuasa ghaib,lalu bertemulah Kaira dengan Raja Ganerin,iaitu raja ular jadian daripada bangsa jin.Syarat perjanjian dimeterai, Kaira berubah menjadi cantik tetapi sangat berbisa! Dengan kecantikan miliknya, dia kembali untuk melunaskan dendam. Namun cinta yang akan menjadi racun dalam hidupnya datang tanpa diduga. Keadaan menjadi semakin sukar. Derita sentiasa mengekori Kaira.


“Bagaimana untuk aku hidup bersamanya, sedangkan dia begitu taat kepada Tuhannya? Manakala aku pula makhluk yang dilaknat.”- Kaira

“Sayangku,usahlah kau menangis.Aku ada bersama kau. Kau bukan lagi manusia biasa.Kini kau menjadi milikku.Jasad kau saja manusia.Tetapi jiwa kau sudah mati!Kau kini makhluk jadian. Kau adalah ratu ular!”- Raja Ganerin.

“Kalau kau berani,cubalah!Aku juga akan pastikan kau tak akan terlepas. Kau jangan lupa, walaupun itu cadangan aku, tapi kau yang membakar rumah tu!”- Kalsum.


HALUSINASI:

Maya begitu teruja menukilkan karya mistik. Bab demi bab dikarang dengan penuh penghayatan. Kisah misteri yang melibatkan kemalangan ngeri tiga buah kereta. Sepanjang menyiapkan karya itu, dia sering disergah dengan lembaga berkelubung. Ada sahaja makhluk menakutkan datang menganggu. Banyak perkara pelik berlaku kepadanya. Fikirnya, itu Cuma halusinasi. Dia juga didatangi suara tanpa wajah yang dia menyelesaikan sesuatu yang dia tidak tahu. Sedangkan dia menyangka dia berimaginasi dengan watak-watak dalam karyanya. Tanpa disangka segala yang dicoretkan dalam karyanya benar-benar terjadi! Malah rentetan daripada malapetaka itu, seorang demi seorang kenalannya mati! Maya bingung. Dia cuma novelis. Benarkah dia sekadar berhalusinasi? Dan apa sebenarnya suara tanpa wajah itu mahu daripadanya? Selagi dia tak merungkai kemelut ini, selagi itu dia terus dihantui.

SUARA TENGAH MALAM:

Cerita ini mengisahkan tentang seorang penyiasat persendirian bernama Adam yang berkelana mencari isterinya yang diculik 3 tahun yang lalu. Maklumat yang diterima telah membawanya ke Melaka. Di situ dia telah menyewa sebuah bilik di sebuah rumah lama. Di situ juga dia telah berkenalan dengan Rafiq yang juga baru menyewa di situ. Suara aneh yang kerap mereka dengar apabila senja muncul membuatkan mereka berdua cuba menyiasat misteri rumah itu. Namun usaha mereka mendapat halangan daripada tuan rumah yang pembengis. Dalam masa yang sama, usaha Adam semakin menemui jalan buntu.Apatah lagi halangan daripada penculik isterinya. Akhirnya Adam membuat keputusan untuk menamatkan pencariannya di Melaka namun kehilangan Mazni, anak tuan rumah membawa kepada penemuan baru. Dapatkah Adam menemui isterinya semula? Siapakah yang kerap menyanyikan lagu Cina itu?

 “Xiao lau shu, shang deng tai, tou chi you, xia bu lai, Miao, miao, miao, mao lai le, Ji li ku lu, kun xiao lai.” Kemudian diikuti dengan tangisan yang hiba dan panjang. Terdengar juga bunyi sesuatu yang diketuk atau dipukul bertalu-talu.


Menarik betul setiap sinopsis novel di atas. Nantikan kemunculan hasil garapan penulis Ramlee Awang Murshid, Annur Shanana, Jessy Mojuru dan Maria Kajiwa.

Friday, 16 August 2013

MAGIS TERBARU DARIPADA RAMLEE AWANG MURSHID

MAGIS TERBARU DARIPADA  RAMLEE AWANG MURSHID


Berita baik dan menarik buat para peminat penulis thriller nombor satu Malaysia iaitu Ramlee Awang Murshid. Penulis paling disayangi peminat buku di Malaysia ini ada buah tangan terbaru pada Oktober 2013 nanti.

Novel terbaru daripada beliau bertajuk MAGIS akan berada dipasaran.

Daripada sinopsis buku ini, kali ini Ramlee Awang Murshid telah menggabungkan lima watak daripada novel-novel terhangat beliau.

Tombiruo, Ryu-Watanabe, Saifudin, Mikhail dan Carlos.

Fenomena Halo telah mengheret lima manusia yang berlainan tempat dan berbeza tahun ke sebuah dunia magis. Sebuah dunia di hujung waktu ketika tamadun serta peradaban manusia mulai terhakis. Mereka yang terpilih terjebak ke lokasi yang berbeza-beza.
Masa secara perlahan-lahan telah mempertemukan mereka . Namun di antara mereka ada yang  berpihak kepada kejahatan yang diterajui seekor makhluk gagah yang dipanggil Tuan Turak - pemimpin boneka disebalik satu kuasa yang lebih kejam lagi dahsyat.
Apabila dunia semakin dihampiri Dukhan (asap tebal), maka peperangan tidak mampu dielakkan lagi. Mereka bertempur sampai mati! - MAGIS

Menarik sangat PSS lihat sinopsis novel ini. Tambahan pula lima watak utama daripada novel Tombiruo, Mikhail, Hatiku di Harajuku, Mandatori dan siri Bagaikan Puteri dijelmakan dalam sebuah cerita. PSS yakin novel ini akan sangat berjaya dipasaran selepas novel Aku Bercerita.

Sudah pasti novel ini akan mengubat rindu para pembaca yang merindui watak-watak daripada novel terdahulu terutamanya watak Saifudin.

Novel ini diterbitkan oleh Alaf 21. Nantikan Oktober nanti.



Wednesday, 14 August 2013

RAIHAN ZAFFYA : AKU CANTIK?

RAIHAN ZAFFYA : AKU CANTIK?

Puan Raihan Zaffya

Melihat pada raut wajah novelis Raihan Zaffya ini, jelas terpancar kecantikkan wajah seorang ibu. Aku Cantik? adalah judul novel beliau yang sudah pun berada di pasaran.


Sinopsis novel Aku Cantik?

Rima seorang gadis lurus yang tidak percaya cinta dan tidak sedar dirinya cantik. Sedangkan Juki dan Sulaiman dapat melihat apa yang tersembunyi, yang Rima tidak sedari. Terkunci hati Rima untuk mencintai dan dicintai. Baginya tiada istilah cinta dan mesti memerangi cinta.
Juki - “Bila aku dah habis belajar dan dah dapat kerja nanti, aku pinang engkau ya. Aku tak main-main. Sungguh-sungguh ni.”
Rima - “Kak ngah! Cuba terangkan pada Juki ni, kita dengan Juki saudara kan? Mana boleh nak pinang-pinang pulak! Lagi pun kalau adik nak kahwin nanti bukan dengan Juki!”
Sulaiman - “Rima... dengar sini... abang cintakan awak. Benar-benar cinta. Tak pernah abang ada perasaan macam ni pada mana-mana perempuan sebelum ini. I love you!”
Rima - “Maafkan saya... saya pergi dulu. Ada kelas.” Rima tidak tahan hati. Dia mesti cepat-cepat pergi. Jika lebih lama dia di situ akan goyah hatinya.
Ketika Sulaiman hadir untuk mengintai-intai ruang di hatinya, Rima mulai tertanya-tanya itukah cinta? Juki yang membesar bersama Rima tetap bersabar menanti jawapan sejak 9 tahun yang lalu. Dia terlalu memahami.
Rima keliru. Apa perlunya cinta jika harus mengorbankan perasaan? Mestikah dia meneruskan keinginan hati atau perlu berundur diri? Gugur air mata Rima ketika berada di dua persimpangan. Haruskah dia memilih satu di antara dua atau melepaskan kedua-duanya sekali? 


Sungguh menarik sinopsis novel terbitan Alaf 21 ini.  Setelah membaca sinopsis ini PSS lihat Rima berhadapan dengan perasaan serba salah untuk memilih salah satu cinta antara dua orang lelaki. Antara Juki dan Sulaiman, siapa yang berhak bertakhta di hatinya.

Rima dan Juki membesar bersama-sama. Mungkin pada Rima, Juki hanyalah kawan atau abang. Namun Juki telah pun menyatakan hasratnya pada Rima dan menanti untuk tempoh sembilan tahun lamanya. Cukup lama. Kalau Kahwin sudah boleh dapat tiga orang anak.

Tiba-tiba Sulaiman hadir menyatakan hasrat yang sama. Rima yang selama ini tidak percaya atau mungkin tidak memahami erti cinta itu tiba-tiba mula merasai satu perasaan. Adakah ini cinta? Jadi siapa dia harus pilih? Juki atau Sulaiman? Perasaan siapa yang perlu dia korbankan? Atau megorbankan perasaanya sendiri? PSS sendiri pun belum baca novel ini. Sekadar berpandukan pada sinopsis di atas.

Peningkan? Jadi untuk mengetahui kisah novel ini dengan lebih jelas, boleh mendapatkannya di kedai berhampiran. Terus ke KarangkrafMall pun boleh juga.


"InsyaAllah, yang sudah membaca Aku Cantik? sangat berpuas hati. Genre romantik komedi yang santai diselitkan dengan babak sedih untuk menambah perisa di dalam cerita."- Puan Raihan Zaffya.

PSS tertarik dengan komen salah seorang pembaca novel Aku Cantik? ini. Tertarik kerana pembaca ini adalah berbangsa India. Selama mengunjungi pesta buku atau ke kedai buku, memang jarang nampak selain bangsa Melayu membeli novel cinta Melayu. Cinta itukan universal sifatnya. Tidak kira apa bangsa pun, semua akan merasai perasaan cinta anugerah Allah swt ini. Lagi pula Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia.

"tahniah-tahniah, .akak. karya akak AKU CANTIK? memang terbaik....saya hanya mengambil beberapa jam sahaja untuk menghabiskan kisah cinta yang menarik tu.....''KISAH CINTA MARZUKI DAN SHAZRIMA. Lima dari lima bintang. dengan hati yg ikhlas"- Nisha Brianna


Boleh ke pautan ini  http://www.alaf21.com.my/prodDetails.asp?idpr=949

Boleh juga mencuba ke sini https://www.facebook.com/groups/364696440307459/?fref=ts

Monday, 5 August 2013

AMER MUKHLIS PANDAI BUAT BISKUT CORNFLEKS

AMER MUKHLIS PANDAI BUAT BISKUT CORNFLEKS



Amer Mukhlis yang begitu popular dengan novel sulungnya Doa Cinta Hersalina tahun ini khabarnya beraya dengan baju Melayu cekak musang berwarna merah hati. Wah, sangat menyerlah warna pilihan beliau. Menyerlah seperti karyanya. Namun beliau mengatakan lebih selesa mengenakan Kurta.

Pada yang tidak tahu, Amer Mukhlis sangat sukakan kuih tart nenas dan semperit. Biasanya hanya pelbagai jenis kerepek sahaja yang dibeli selebihnya kuih raya dibuat sendiri. Amer Mukhlis bukan sahaja berbakat mengarang novel, tetapi beliau juga ada kemahiran membuat kuih raya cornflakes. Selain itu juga Amer Mukhlis gemar memasak masakan barat dan tradisional Melayu.


Apa agaknya juadah dipagi raya yang biasa Amer Mukhlis dan sekeluarga hidangkan?

"selalunya lemang dan rendang memang mesti ada. kalau di kampung, saya jamu dengan sup tulang, ketupat palas, kuah kacang dan nasi impit serta lontong"- Amer Mukhlis

Menarik sungguh hidangan dipagi raya Amer Mukhlis sekeluarga. Berbalik kepada novel sulungnya, Doa Cinta Hersalina adalah karya yang menjadikan isu anak tidak sah taraf sebagai tunjang cerita. Sedikit sinopsis tentang novel Doa Cinta Hersalina.

Kata Rita, kelahiran Hersalina adalah satu kesilapan. Sebab itulah Hersalina dinafikan hak seumur hidup. Kata Mak Timah, Hersalina tidak bersalah. Dia adalah mangsa dari kecurangan Rita dengan lelaki lain. Semuanya bukan dia yang pinta, apatah lagi lahir dalam keadaan yang mengaibkan. Hersalina adalah sejarah hitam yang Rita mahu lupuskan terus! Kerana satu persitiwa pahit, Hersalina dipersalahkan. Saat dirinya dirogol, ia bagaikan mengulang sejarah hitam penipuan ibunya dahulu. Dan saat Hersalina disahkan mengandung, dia nekad ingin membesarkan benih dalam kandungannya walaupun nyawanya hampir melayang dibelasah oleh keluarganya sendiri! Meskipun pedih, rengsa dan derita, dia tahu hidupnya berputar bersama caturan takdir-Nya, sehingga ke garisan akhir dia terpaksa merelakan segalanya. Bukankah setiap penderitaan akan ada jalan kebahagiaan. Tapi sampai bila dia harus menanti. Adakah sehingga dia tiada lagi di dunia ini barulah kebahagiaan dapat dikecapi? Adilkah dia dihakimi hanya kerana kisah hitam orang lain? Hersalina punya perasaan, ingin bahagia bersama insan yang disayanginya.

Sungguh malang nasib yang menimpa Hersalina ini. Tambah Amer Mukhlis lagi, novel keduanya yang bertajuk Oh Cik Hati pula mengangkat isu hubungan sebelum bernikah bagi pasangan yang sedang bercinta. Menurutnya lagi novel Oh Cik Hati sudah siap dan telah pun dihantar kepada penerbit. Oh Cik Hati adalah sebuah novel bergenre romantik komedi.

"Novel ke dua bertajuk Oh Cik Hati, sudah dihantar dan sedang dinilai oleh editor Buku Prima. mungkin tahun depan keluarnya. dalam pada itu, saya buat manuskrip yang lain, hampir siap. tajuknya  adalah Selalu Pernah Ada"-Amer Mukhlis

Novel Selalu Pernah Ada pula, Amer Mukhlis menjadikan isu kesan-kesan hubungan tanpa ikatan sehingga terlanjur sebagai asas cerita. Kesimpulannya ketiga-tiga novel dewasa karya beliau adalah mengenai masalah sosial. Pastinya banyak pengajaran yang beliau terapkan pada setiap karyanya supaya menjadi peringatan dan kesedaran buat pembaca.

Minat untuk menulis timbul setelah beliau membaca karya penulis Tere Liye. Sebanyak hampir RM500 ringgit diperuntukkan untuk membeli novel yang disukainya. Sebenarnya Amer Mukhlis tidaklah gemar membaca novel namun novel karya Tere Liye mengubah segalanya. Amer Mukhlis akhirnya menemui genre yang sesuai untuknya menulis.

"saya belajar menulis melalui pembacaan. dari situ timbul minat menulis apabila melihat para penulis yang ada terdiri daripada pelbagai latar belakang pendididkan berbeza. kalau orang lain boleh buat saya pun boleh buat."- Amer Mukhlis.

Manuskrip Aku Bukan Bibik khabarnya dihentikan buat sementara waktu. Sebaliknya Amer Mukhlis akan memulakan projek penulisan novel remaja apabila tiba masa yang sesuai.

"SELAMAT HARI RAYA, maaf zahir dan batin, semoga lebaran ini memberikan lebih harapan dan dorongan untuk lebih berjaya. Lupakan semua kesilapan semalam dan hiduplah sebagai manusia yang baru."- Amer Mukhlis

Begitulah ucapan hari raya dari Amer Mukhlis untuk semua para peminatnya. Diharap Amer Mukhlis terus berjaya dan menjadi penulis tersohor di Malaysia suatu hari nanti.

Pembaca PSS bolehlah melawat ke blog karya Amer Mukhlis di http://koleksiamermukhlis.blogspot.com

Selain itu juga boleh ke blog peribadi beliau di http://amermukhlis89.blogspot.com





Friday, 2 August 2013

PANAS! TELEMOVIE ABAH TAK BALIK MALAM RAYA DITUKAR TARIKH TAYANGAN.

PANAS! TELEMOVIE ABAH TAK BALIK MALAM RAYA DITUKAR TARIKH TAYANGAN.


Ditukar tarikh tayangan? Begitulah berita panas yang mula tersebar secara meluas ini. Sebelum ini telemovie yang skripnya ditulis oleh Mama Bella ini dijangka akan ditayangkan pada hari raya pertama. Namun ia telah diubah ke tarikh yang lain.

Berikut adalah keratan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh produksi telemovie ini melalui laman Facebook.



Mama Bella juga turut membuat kenyataan mengenai perubahan tarikh siaran telemovie Abah Tak Balik Malam Raya.


Telemovie Abah Tak Balik Malam Raya akan ditayangkan pada hari Ahad 18 Ogos 2013. Waktu siaran pula pada jam sepuluh malam.

PSS lihat ia adalah tarikh yang sangat bagus. Tambahan pula telemovie ini khabarnya jalan ceritanya sangat menarik. Tayangan pada waktu malam dihujung minggu memberikan peluang kepada semua penonton TV3 untuk menonton.

Pada pendapat PSS, telemovie ini memang kurang sesuai ditayangkan pada hari raya pertama. Waktu siaran pula pada waktu pagi. Biasanya hari raya pertama semua keluarga sibuk untuk bermaaf-maafan, menziarahi kubur dan mungkin ada yang memulakan perjalanan yang jauh untuk beraya ke rumah sanak saudara.

Telemovie Abah Tak Balik Malam Raya
Waktu siaran: 10 malam
18 Ogos 2013. Ahad
TV3