Pages

Tuesday, 16 July 2013

LEGASI OAKHEART SEMAKIN MENYERLAH

LEGASI OAKHEART SEMAKIN MENYERLAH



LEGASI OAKHEART ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2012. Ia diasaskan oleh pasangan suami isteri iaitu Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri dan Hafiz Latiff. Beberapa orang penulis muda lain juga turut menggerakkan pengurusan Legasi Oakheart.

"Legasi Oakheart merupakan sebuah syarikat penerbitan buku, pengedar dan juga pengendali bengkel penulisan kreatif di serata Malaysia"-Legasi Oakheart

Sayidah Mu'izzah dan Hafiz Latiff

Semenjak setahun penubuhannya, Legasi Oakheart telah menerbitkan 4 buah naskah buku. Antologi puisi Elegan (2012) dan Antologi Puisi Duo ANTI-REALITI (2013). Manakala Antologi Cerpen, Proses Kreatif & Skrip Filem Pendek CANTUMAN MIMPI (2013) dan Antologi Puisi RETROSPEKSI (2013) diterbitkan dengan kerjasama Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).

Menurut Legasi Oakheart, empat buah naskah yang diterbitkan itu adalah hasil dari bengkel yang telah dianjurkan oleh Legasi Oakheart sendiri. Karya-karya tersebut telah disiapkan terlebih dahulu dan akan diperbaiki di dalam bengkel penulisan. Setiap penulis yang ingin menerbitkan karya di Legasi Oakheart perlu menghadiri bengkel yang dianjurkan. Namun penghantaran karya secara terus tanpa menghadiri bengkel kadangkala dibuka kepada yang berminat.

"Seperti projek yang telah dimaklumkan sebelum ini, kami membuka ruang kepada penulis-penulis muda untuk menghantar karya mereka. Namun, projek tersebut telah pun tutup tarikh penghantaran karya pada 30 Jun yang lalu dan sekarang dalam proses penilaian oleh panel penilai.
Insya-Allah, lepas Aidilfitri, dalam perancangannya, kami akan menganjurkan bengkel penulisan kreatif yang terbuka kepada mana-mana penulis dan calon penulis yang berminat."-Legasi Oakheart

Diajukan soalan, bagaimanakah cara mendekatkan golongan remaja terhadap karya-karya sastera seperti puisi , syair , pantun dan sebagainya, ini jawapan dari Legasi Oakheart.

"Sebagai penulis, mendekati masyarakat adalah 'makanan jiwa' untuk meneruskan kelangsungan penulisan. maksudnya, kena dekati masyarakat dari bawah hingga ke atas, kena selami dari akar umbi. Penglibatan penerbit dan penulis dalam mempromosikan karya sangat digalakkan. Sesetengah penulis hanya mengharapkan penerbit yang mempromosi dan mengedarkan karya mereka. Sepatutnya, dua-dua perlu memainkan peranan untuk turun padang
anjurkan acara-acar yang santai dan dekat dengan golongan muda atau masyarakat keseluruhannya"-Legasi Oakheart

Sebelum ini, Legasi Oakheart ada menganjurkan acara santai yang diberi nama Gebang naskah dan filem. Ia adalah acara sembang filem atau buku yang dipilih oleh panel. Malah hadirin yang hadir boleh berbual apa sahaja sambil menikmati minuman dengan gaya santai.

Selain itu juga Legasi Oakheart turut memperkenalkan aktiviti Gebang Seni Kreatif. Ia adalah nama lain bagi bengkel penulisan kreatif. Nama unik ini pernah menjadi persoalan oleh seorang pelajar sekolah yang menyertai aktiviti ini. Legasi Oakheart ada jawapannya.

"Kalau kami datang beri bengkel atau ceramah, agak-agak kamu mahu turut serta secara rela atau paksa rela? Berbanding dengan gebang, kami datang dengan perkongsian ilmu secara santai, apa yang kamu rasa?" -Legasi Oakheart



Tambah Legasi Oakheart lagi, golongan muda perlu didekati secara emosi dan psikologi. PSS lihat Cara gaya santai yang diaplikasikan oleh Legasi Oakheart sangat bertepatan dengan jiwa remaja masa kini. 

Pasti pembaca PSS tertanya-tanya apa maksud disebalik nama syarikat penerbitan Legasi Oakheart ini. 

"Pemilihan kata 'legasi' membawa maksud warisan untuk generasi akan datang melalui hasil karya yang diterbitkan. ‘Oakheart' pula adalah gabungan pokok oak dan 'heart'. Pokok oak memiliki struktur kayu yang kuat. 'Heart' tentulah hati. Maka, Legasi Oakheart merupakan wawasan kami untuk mewariskan jiwa yang utuh dan jati diri yang kuat kepada generasi akan datang."-Legasi Oakheart

Untuk mendapatkan berita aktiviti terkini Legasi Oakheart, boleh lawati laman Facebook LegasiOakheart, atau twitter @legasioakheart atau blog http://legasioakheart.blogspot.com/.

Untuk mendapatkan produk terkini dari Legasi Oakheart boleh layari http://legasibuku.blogspot.com

Akhir kata dari Legasi Oakheart yang menjadi pengedar rasmi majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apakah harapan Legasi Oakheart yang masih baru memulakan langkah dalam arena penerbitan buku di Malaysia.

"Setiap penulisan akan disoal oleh-Nya suatu hari nanti. Maka, daripada karya-karya itu, kami harap manfaatnya sampai kepada pembaca. Kerana kita adalah apa yang kita baca.  Dan penulis adalah apa yang dia tulis."-Legasi Oakheart

Tahniah diucapkan dari PSS.




4 comments:

boni kacak said...

wah.. ini sangat menarik ni... heehe

jejari kucing said...

ya menarik sangat. terima kasih membrikan komen positif di PSS!

Legasi Oakheart said...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Terima kasih kepada pihak PSS kerana sudi menemuramah kami. Moga pengikut laman ini mendapat manfaat daripada sedikit perkongsian tersebut.

Terima kasih kepada yang terus menyokong kami. =)

jejari kucing said...

Terima kasih juga kepada pihak Legasi Oakheart kerana memberikan kerjasama yang baik. terima kasih :)