Pages

Tuesday, 30 July 2013

MAMA BELLA TIDAK BALIK BERAYA?

MAMA BELLA TIDAK BALIK BERAYA?

MAMA BELLA yang sempoi


Sedih PSS mendengar nasib yang menimpa novelis Mama Bella yang dikatakan tidak dapat pulang beraya. Pasti tidak berasa seronok. Banyak manuskrip yang tertunggakkah Mama Bella?

PSS bergurau sahaja. Sebenarnya bukanlah Mama Bella yang tidak akan pulang berhari raya. Melalui laman FB, Mama Bella telah mengumumkan bahawa skrip telemovie hasil tulisannya akan ditayangkan pada hari raya pertama di tv3. Telemovie yang bertajuk Abah Tak Balik Malam Raya ini akan ditayangkan pada pukul
 10.30 pagi.

"Raya pertama - 10.30 pagi - TV3. Lepas balik solat sunat Aidilfitri nanti, sambil makan lemang, ketupat, rendang tok dan tart nenas, jemput tonton telemovie Abah Tak Balik Malam Raya, ya
InsyaAllah menarik! Kisah abah bomba, balu tegar, mak mertua berlagak dan anak-anak yang tak tahu abah tak balik-balik terus di malam raya. Mesti tonton ya!
"
-Mama Bella

Begitulah kenyataan yang ditulis melalui laman FB milik beliau. PSS tertarik dengan kisah anak-anak yang tidak sedar ayah mereka tidak akan pulang selamanya di malam raya. Nampaknya ia sebuah telemovie yang menyentuh perasaan. Begitu juga dengan kisah-kisah lain yang mewujudkan pelbagai kesan emosi di dalam satu telemovie.



Mama Bella merupakan penulis beberapa buah novel antaranya Apabila Mama Pakai Abaya, Cik Pa Glamor, Cik Kumis dan Aku Mahu Saiz XL.

Antara pelakon yang terlibat dalam telemovie ini ialah Faezah Elai.

sumber google image

Blog Mama Bella http://mamaintanpayung.blogspot.com/


Thursday, 25 July 2013

JK ROWLING : THE CASUAL VACANCY BAKAL DITAYANGKAN PADA TAHUN 2014

JK ROWLING : THE CASUAL VACANCY BAKAL DITAYANGKAN PADA TAHUN 2014


The Casual Vacancy merupakan novel dewasa pertama karya penulis terkenal dunia J.K. Rowling. Sebelum ini beliau cukup terkenal dengan novel bersiri kanak-kanak iaitu Harry Potter. Francais filem adaptasi dari novel Harry Potter meletakkan beliau sebagai penulis paling kaya di dunia.

The Casual Vacancy diterbitkan oleh Little Brown Book Group pada 27 September 2012. Dalam tempoh tiga minggu pertama dipasaran, novel ini terjual sebanyak satu juta salinan dalam bahasa Inggeris di seluruh wilayah  termasuk Amerika dan United Kingdom.

Novel ini telah menarik minat stesen televisyen BBC untuk diadaptasikan ke dalam bentuk drama pada tahun 2014.

J.K. Rowling

SETELAH 18 TAHUN NOVEL IGAUAN MAUT MUNCUL KEMBALI?

SETELAH 18 TAHUN NOVEL IGAUAN MAUT MUNCUL KEMBALI?


Muncul kembali? Novel sulung penulis thriller nombor satu Malaysia Ramlee Awang Murshid dikhabarkan kembali menemui peminat.

Novel Igauan Maut pernah memenagi tempat ke dua dalam Peraduan Menulis Novel Dewasa 1992. Peraduan dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah. Novel ini juga pernah memenangi hadiah sastera negeri Sabah 1994/1995.. Ia kemudiannya diterbitkan pada tahun 1995 oleh DBP.

Igauan Maut menjadi igauan buat para peminatnya. Novel ini menjadi buruan dan perhatian dari pengumpul koleksi novel Ramlee Awang Murshid. Semuanya tercetus apabila beberapa buah novel Ramlee Awang Murshid yang diterbitkan di syarikat penerbitan Alaf 21 menjadi kegilaan dan mendapat tempat di hati para pembaca di seluruh Malaysia. Semua novel terbitannya di Alaf 21 jumlah muka suratnya sangat tebal sehingga melebihi 600 muka surat.

Berikut senarai novel Ramlee Awang Murshid.

1. Igauan Maut - 1995,DBP
2. Tombiruo - 1998,Alaf21
3. Ranggau - 1999,Alaf21
4. Anugerah Pertama - 2000,CESB
5. Mandatori - 2000,Alaf21
6. Semangat Hutan - 2001,Alaf21
7. Pei Pan - 2002,UPDSB
8. ADAM - 2002, Alaf21
9. Satu Janji - 2003,Alaf21
10. Tombiruo Terakhir - 2004,Alaf21
11. Rahsia Perindu - 2005,Alaf21
12. Bagaikan Puteri - 2005,Alaf21
13. Hatiku Diharajuku - 2006,Alaf21
14. Cinta Sang Ratu - 2007,Alaf21
15. Ungu Karmila - 2008,Alaf21 (dipasaran Dis 07)
16. Hijab Sang Pencinta - 2008,Alaf21 (dipasaran Okt 08)
17. Personal Justice - 2008,Alaf21
18. Mikhail - 2009,Alaf21
19. 9 Nyawa - 2010,Alaf21 (dipasaran Nov 09)
20. Cinta Sufi - 2010,Alaf21 (dipasaran Mac 10)
21. Rayyan Fantasi - 2011,Alaf21 (dipasaran Dis 10)
22. Sutera Bidadari - 2011, Grup Buku Karangkraf (dipasaran Mei 11)
23. Fiksyen 302 (Akan Datang Disember 2011)
24. Sunan Musafir (Mei 2012)
25. Aku Bercerita (2013)
26. MAGIS (akan datang)

Populariti Ramlee Awang Murshid semakin melonjak naik dari karya paling mendapat perhatian dan menjadi bahan bualan hangat iaitu siri Bagaikan Puteri. 


Enam buah novel bersiri ini menjadi fenomena dan kegilaan para pembaca. Watak paling banyak diperkatakan dalam novel ini ialah Laksamana Sunan. Ia menjadi dambaan dan ikutan para pembacanya. Semenjak dari itu, para peminat buku mencari novel-novel terdahulu Ramlee Awang Murshid.

Sudah tentu, mereka yang mengkagumi cara olahan penulis ini mencari-cari karya pertama yang ditulis oleh Ramlee Awang Murshid.

Igauan Maut sejak diterbitkan pada tahun 1995 kemudiannya hilang dari pasaran buku. Ia tidak diterbitkan lagi dan sukar untuk ditemui. Ia menjadi sangat bernilai dikalangan pengumpul koleksi novel Ramlee Awang Murshid.

Tetapi kini, ia kembali dengan persalinan yang baru dari segi kulit bukunya namun keaslian karya masih kekal semenjak kelahiran novel ini 18 tahun yang lalu.


"Novel ini hanya boleh didapati melalui RAMFC sahaja. Tidak dijual dikedai-kedai, pasaran luar mahupun penerbit. Eksklusif untuk RAMFC dan khusus untuk RAMians yang ternanti-nanti selama ini."-RAMFC

Untuk maklumat semua, novel kelahiran semula ini hanya terhad untuk 920 naskah sahaja di dunia! Cetakan ke dua dalam tempoh 18 tahun! Jumlah halaman sebanyak 166 muka surat. Berharga RM20 tidak termasuk kos penghantaran.

Maklumat lanjut sila lawati page RAMFC 

Anda juga boleh melihat berita-berita Ramlee Awang Murshid di KELABRAM





Tuesday, 23 July 2013

RAHMAH MOKHTAR : KONVENSYEN MINI PENULISAN SANGAT MENCABAR

RAHMAH MOKHTAR : KONVENSYEN MINI PENULISAN SANGAT MENCABAR

Cikpuan Rahmah Mokhtar

Konvensyen Mini Penulisan yang telah pun berlangsung pada 20 Julai 2013 lalu dikhabarkan berjalan dengan lancar dan baik sekali. Kehadiran awal para peserta dari waktu sebenar menunjukkan kesungguhan yang dipamerkan. Mereka yang hadir ternyata bersemangat untuk menimba ilmu dari Konvensyen yang unik ini.

Unik kerana peserta yang hadir, boleh membawa manuskrip atau proposal untuk diberikan kepada penerbit. Penilaian akan dilakukan dan keputusan akan diperolehi pada hari itu juga. Selain itu juga mereka yang hadir berpeluang memilih rakan penulis untuk kerjasama.

Konvensyen telah diadakan di Wisma Sejarah dan dihadiri 12 pembentang yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing. Antaranya Pengurus Besar Grup Buku karangkraf iaitu Puan Sri Diah, Tuan Aqif Azizan pengasas Write to Wealth, Tuan Abdul Latip Talib novelis fiksyen sejarah Islam nombor satu Malaysia dan ramai lagi.

Rahmah Mokhtar penulis novel Lelaki Berbaju Biru adalah salah seorang kru yang terlibat dalam memastikan kelancaran program bersejarah ini berjalan dengan rapi dan tersusun.


Beliau ditugaskan untuk menguruskan slaid dan nota para pembentang. Turut sama membantu adalah Cikpuan Azzah Abdul Rahman, Puan Husna dan Tuan Asnawi Yusof.

Menceritakan pengalamannya, beliau berasa gemuruh duduk di hadapan dewan sepanjang hari bagi memastikan slaid berada didalam pengawasannya.

"Sangat mencabar, sebab para pembentang bukan calang-calang orang dan saya menggalas harapan supaya semuanya lancar sampai akhir. Lagi, pembentang terakhir mahu lagu latar dan buku audionya dimainkan. Saya memang tak senang duduk fikirkan hal yang satu ini.
Peserta, dewan sudah penuh jam 8.30 pagi, walaupun majlis hanya bermula pada jam 9.00
Saya yang sedang  menyediakan slaid terpaksa tengok jam berkali-kali sambil berkata sendiri, "Peserta yang datang awal, saya masih ada masa!"-Cikpuan Rahmah Mokhtar

Rahmah Mokhtar sendiri tidak melepaskan peluang untuk menghantar kertas cadangan novel kepada Grup buku Karangkraf. Seperti yang diberitahu, pihak Karangkraf meminta dua minggu untuk memberikan jawapan kepadanya. Namun tanda-tanda awal positif dilihat sewaktu perbincangan singkat yang telah dilakukan pada hari itu juga. Sedikit sebanyak memberikan semangat buat Rahmah Mokhtar.

Tetapi yang PSS tahu, bukankah keputusan akan diterima pada hari itu juga?

"Mungkin ada yang kerta cadangan mereka diterima, saya kurang pasti sebab tidak sempat berbual panjang dengan para peserta. Tetapi, ada rakan maklumkan kertas cadangan dengan pihak Jootawan diterima pada hari itu juga. Oh ya, meja karangkraf penuh! Jadi, para editor terpaksa berkejar supaya dapat berurusan dengan semua penulis."-Cikpuan Rahmah Mokhtar

sumber : FB Cikpuan Azzah Abdul Rahman. CD yang dijual ketika program dijalankan

Disoal siapakan pembentang yang paling menyerlah dalam Konvensyen mini penulisan itu? Rahmah Mokhtar agak terkedu untuk menjawab. Baginya setiap pembentang mempunyai hujah yang membuatkan Rahmah Mokhtar sendiri berfikir untuk bertindak dan melaksanakan sesuatu.

Namun, beliau sangat terkesan dengan kata-kata salah seorang pembentang iaitu Tuan Izwan Wahab juga dikenali sebagai Robotys.

"Kekecewaan paling besar bagi seorang penulis adalah apabila karyanya tidak pernah diterbitkan, sehinggalah dia terbaring uzur di katil tua."-Tuan Izwan Wahab

Tambah Rahmah Mokhtar lagi, beliau sangat sukakan setiap pembentangan dan perkongsian pada program itu. Katanya lagi, dalam dunia penulisan, penulis tidak pernah bersendirian. Para penulis perlu berada dalam satu jemaah.

Khabarnya, program ini akan ada gelombangnya yang ke dua. Betulkah?

"Insya-Allah, ia akan jadi acara tahunan tetapi semuanya masih dalam perbincangan. Kita juga sudah ada senarai peserta menunggu bagi acara 2014. "-Cikpuan Rahmah Mokhtar

Peserta yang tidak dapat hadir disebabkan kuota yang sudah penuh bolehlah menghadiri program ini pada masa akan datang. Malah Rahmah Mokhtar sendiri menyatakan ada peserta yang sudah hadir pada program ini mahu hadir sekali lagi.

sumber: FB Tuan Zamri Mohamad

PSS tertarik dengan beg merah comel yang ditaja oleh Kota Buku itu. Apa agaknya ya isi di dalamnya?

"Ya, Kota Buku taja beg itu. Ada modul konvensyen, buku bergambar dari Kota Buku (senarai ilustrator dan contoh stroke), buku nota dan brosur, juga buku mini Mudahnya Menjemput Rezeki daripada Ustaz Fathuri Salehuddin"-Cikpuan Rahmah Mokhtar

Bagi Rahmah Mokhtar sendiri, apakah yang dicari dalam bidang penulisan ini?

"Saya mahu menulis dan menyampaikan apa yang saya tahu. Caranya, tidak lain tidak bukan, menjadi orang terkenal. Ya, saya perlu menjadi orang glamor, supaya apa yang saya mahu beritahu boleh sampai kepada para pembaca. Bersandarkan pada hadith Nabi SAW "sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat" Jadi, saya pilih medium novel dan karya sastera sebagai mediumnya. Insya-Allah, doakan saya kekal dalam laluan ini. "-Cikpuan Rahmah Mokhtar

 
sumber: FB Cikpuan Azzah Abdul Rahman

Bagi memastikan sesuatu karya itu terus terjual, Rahmah Mohkhtar memberikan pandangannya.

"Kena ada karya yang keluar secara berkala. Jadi, sementara ada novel baru yang berjaya menambat hati penerbit, saya aktif menulis cerpen di TulisNovel.com dan blog.
Saya juga menyertai mana-mana pertandingan menulis yang mampu disertai"-Cikpuan Rahmah Mokhtar

Rahmah Mokhtar juga terlibat sebagai pentadbir laman FB Geng Urban, yang menggalakkan ahlinya menulis setiap bulan.

Apakah kesimpulan yang dapat diberikan dari Konvensyen mini penulisan ini?

"Terus-terang, saya menyimpulkan konvensyen ini sebagai ruang terbaik bagi para penulis baru dan lama menyalakan semula semangat mahu berkarya. Ia berjaya membuka minda supaya terus kreatif selain menyedarkan saya mengenai tanggungjawab sebagai penulis. Demi pena, setiap kita adalah penulis!"-Cikpuan Rahmah Mokhtar

Ya, demi pena setia kita adalah penulis. Bagus sekali kesimpulan yang telah diberikan Rahmah Mokhtar. Setelah melihat beberapa rakan menjadi pembentang dalam program yang hebat ini, tidak terasakah ada keinginan untuk berada di barisan hadapan sebagai pembentang? Rahmah Mokhtar sila jawab. zass!

"Jujur, haruslah ada! Saya pasti, setiap peserta ada rasa begitu."-Cikpuan Rahmah Mokhtar

Pautan berkaitan:

FB Konvensyen Penulisan

FB GENG URBAN








Thursday, 18 July 2013

LIYANA ZAHIM ADA BABY BARU?

LIYANA ZAHIM ADA BABY BARU?


Panas! novelis Liyana Zahim dikatakan baru sahaja melahirkan 'baby' barunya. Jangan melatah dulu pembaca blog PSS yang disayangi ni.

'Baby' baru yang dimaksudkan ialah novel terbarunya yang bertajuk RINDU AWAK 200% . Tahniah diucapkan. Rindu Awak 200% adalah novel beliau yang ke empat. Untuk tempahan awal novel terbitan Alaf 21 ini bolehlah ke Facebook beliau LiyanaZahim


Sinopsis:

Zill Faezrul Iqbal - Jiwa Armel Aisya jadi nanar apabila teringat nama ini. Bersifat tenang tapi bermulut celopar sungguh menjengkelkan hati Armel Aisya. Tapi, dia tak boleh banyak bunyi. Dia sendiri yang memilih lelaki itu untuk menjadi suaminya.

Ibarat minyak dengan air, mereka tak boleh bersatu. Akibatnya rumah tangga mereka tidak pernah aman! Penyudahnya Armel ke utara, Faezrul ke selatan. Namun, semakin Faezrul tidak peduli, semakin sakit hati Armel.

Misteri Faezrul yang kejap hilang kejap ada di rumah, menimbulkan tanda tanya di kepala Armel. Mustahil seorang lelaki kampung yang bekerja sebagai juruteknik mampu memiliki kereta Range Rover Evoque!

Siapa lelaki ini? Mungkinkah dia suku sakat Jula Juli Bintang Tujuh?

Tuesday, 16 July 2013

LEGASI OAKHEART SEMAKIN MENYERLAH

LEGASI OAKHEART SEMAKIN MENYERLAH



LEGASI OAKHEART ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2012. Ia diasaskan oleh pasangan suami isteri iaitu Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri dan Hafiz Latiff. Beberapa orang penulis muda lain juga turut menggerakkan pengurusan Legasi Oakheart.

"Legasi Oakheart merupakan sebuah syarikat penerbitan buku, pengedar dan juga pengendali bengkel penulisan kreatif di serata Malaysia"-Legasi Oakheart

Sayidah Mu'izzah dan Hafiz Latiff

Semenjak setahun penubuhannya, Legasi Oakheart telah menerbitkan 4 buah naskah buku. Antologi puisi Elegan (2012) dan Antologi Puisi Duo ANTI-REALITI (2013). Manakala Antologi Cerpen, Proses Kreatif & Skrip Filem Pendek CANTUMAN MIMPI (2013) dan Antologi Puisi RETROSPEKSI (2013) diterbitkan dengan kerjasama Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).

Menurut Legasi Oakheart, empat buah naskah yang diterbitkan itu adalah hasil dari bengkel yang telah dianjurkan oleh Legasi Oakheart sendiri. Karya-karya tersebut telah disiapkan terlebih dahulu dan akan diperbaiki di dalam bengkel penulisan. Setiap penulis yang ingin menerbitkan karya di Legasi Oakheart perlu menghadiri bengkel yang dianjurkan. Namun penghantaran karya secara terus tanpa menghadiri bengkel kadangkala dibuka kepada yang berminat.

"Seperti projek yang telah dimaklumkan sebelum ini, kami membuka ruang kepada penulis-penulis muda untuk menghantar karya mereka. Namun, projek tersebut telah pun tutup tarikh penghantaran karya pada 30 Jun yang lalu dan sekarang dalam proses penilaian oleh panel penilai.
Insya-Allah, lepas Aidilfitri, dalam perancangannya, kami akan menganjurkan bengkel penulisan kreatif yang terbuka kepada mana-mana penulis dan calon penulis yang berminat."-Legasi Oakheart

Diajukan soalan, bagaimanakah cara mendekatkan golongan remaja terhadap karya-karya sastera seperti puisi , syair , pantun dan sebagainya, ini jawapan dari Legasi Oakheart.

"Sebagai penulis, mendekati masyarakat adalah 'makanan jiwa' untuk meneruskan kelangsungan penulisan. maksudnya, kena dekati masyarakat dari bawah hingga ke atas, kena selami dari akar umbi. Penglibatan penerbit dan penulis dalam mempromosikan karya sangat digalakkan. Sesetengah penulis hanya mengharapkan penerbit yang mempromosi dan mengedarkan karya mereka. Sepatutnya, dua-dua perlu memainkan peranan untuk turun padang
anjurkan acara-acar yang santai dan dekat dengan golongan muda atau masyarakat keseluruhannya"-Legasi Oakheart

Sebelum ini, Legasi Oakheart ada menganjurkan acara santai yang diberi nama Gebang naskah dan filem. Ia adalah acara sembang filem atau buku yang dipilih oleh panel. Malah hadirin yang hadir boleh berbual apa sahaja sambil menikmati minuman dengan gaya santai.

Selain itu juga Legasi Oakheart turut memperkenalkan aktiviti Gebang Seni Kreatif. Ia adalah nama lain bagi bengkel penulisan kreatif. Nama unik ini pernah menjadi persoalan oleh seorang pelajar sekolah yang menyertai aktiviti ini. Legasi Oakheart ada jawapannya.

"Kalau kami datang beri bengkel atau ceramah, agak-agak kamu mahu turut serta secara rela atau paksa rela? Berbanding dengan gebang, kami datang dengan perkongsian ilmu secara santai, apa yang kamu rasa?" -Legasi Oakheart



Tambah Legasi Oakheart lagi, golongan muda perlu didekati secara emosi dan psikologi. PSS lihat Cara gaya santai yang diaplikasikan oleh Legasi Oakheart sangat bertepatan dengan jiwa remaja masa kini. 

Pasti pembaca PSS tertanya-tanya apa maksud disebalik nama syarikat penerbitan Legasi Oakheart ini. 

"Pemilihan kata 'legasi' membawa maksud warisan untuk generasi akan datang melalui hasil karya yang diterbitkan. ‘Oakheart' pula adalah gabungan pokok oak dan 'heart'. Pokok oak memiliki struktur kayu yang kuat. 'Heart' tentulah hati. Maka, Legasi Oakheart merupakan wawasan kami untuk mewariskan jiwa yang utuh dan jati diri yang kuat kepada generasi akan datang."-Legasi Oakheart

Untuk mendapatkan berita aktiviti terkini Legasi Oakheart, boleh lawati laman Facebook LegasiOakheart, atau twitter @legasioakheart atau blog http://legasioakheart.blogspot.com/.

Untuk mendapatkan produk terkini dari Legasi Oakheart boleh layari http://legasibuku.blogspot.com

Akhir kata dari Legasi Oakheart yang menjadi pengedar rasmi majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apakah harapan Legasi Oakheart yang masih baru memulakan langkah dalam arena penerbitan buku di Malaysia.

"Setiap penulisan akan disoal oleh-Nya suatu hari nanti. Maka, daripada karya-karya itu, kami harap manfaatnya sampai kepada pembaca. Kerana kita adalah apa yang kita baca.  Dan penulis adalah apa yang dia tulis."-Legasi Oakheart

Tahniah diucapkan dari PSS.




Thursday, 4 July 2013

NOVEL TERBARU RAMLEE AWANG MURSHID DIDEDAHKAN?

NOVEL TERBARU RAMLEE AWANG MURSHID DIDEDAHKAN?



Khabarnya, novel terbaru penulis thriller nombor satu Malaysia iaitu Ramlee Awang Murshid akan didedahkan.

Novel bertajuk MAGIS akan didedahkan secara eksklusif  di majlis berbuka puasa pada 27 Julai 2013. Pada majlis yang akan berlangsung itu juga turut diadakan sesi beramah mesra.

Majlis yang dianjurkan oleh RAMFC ini akan diadakan di Bangi Golf Resort Restaurant. Tarikh tutup untuk menyertai program ini adalah pada 13 Julai 2013.

"Bangi Golf Resort Restaurant dipilih kali ini bakal menyediakan hidangan berbuka secara buffet dengan pelbagai juadah menarik. Ruang solat turut disediakan."-Elle Syeila, pengasas kelab RAMFC


Jika bayaran dibuat SEBELUM Sabtu (6 Julai 2013) -
-------------------------------------------------------
Dewasa : RM45.00
Kanak-Kanak: RM22.00 (7 - 12 Tahun)

Jika bayaran dibuat SELEPAS Sabtu (6 Julai 2013)
-------------------------------------------------------
Dewasa : RM58.00
Kanak-Kanak: RM25.00 (7 - 12 Tahun)

Percuma untuk kanak-kanak bawah 7 tahun namun sila nyatakan kehadiran mereka juga.

Untuk maklumat terperinci sila klik https://www.facebook.com/groups/ramfc/


Tuesday, 2 July 2013

KONVENSYEN MINI PENULISAN: DITERAJUI 11 PANELIS TERUNGGUL MALAYSIA.

KONVENSYEN MINI PENULISAN: DITERAJUI 11 PANELIS TERUNGGUL MALAYSIA.


Berita baik buat penulis dan mereka yang ingin menjadi penulis. Pada 20 Julai 2013 akan diadakan Konvensyen Mini Penulisan di Kuala Lumpur. Untuk mendaftar klik sini http://www.mypenulis.info/

Ia sebuah Konvensyen penulisan yang hebat kerana dibarisi oleh sebelas panelis terunggul dengan kepakaran dan kejayaan tersendiri. Di konvensyen ini akan berkumpul para penulis, penerbit dan pekedai buku.

 (1) Puan Sri Diah Saharudin. Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf.

(2) Ustaz Rohidzir Rais. Pendakwah, Penulis, Pengarah Urusan Inspirasi Media. Penulis buku best seller

(3) Abdul Latip Talib. Novelis fiksyen sejarah Islam nombor satu negara

(4) Nor Hayati Razali, Pengurus, Jabatan Pembangunan Industri Buku, Perbadanan Kota Buku.

(5) Azzah Abdul Rahman. Penulis, pengasas Akademi Hero dan Tulisnovel.com.

(6) Nazry Salam Feeqry. Pekomik Misi 10A dan Misi 8A, penulis novel remaja dan pelukis animasi.

(7) Zamri Mohamad. Pengasas kursuspenulisan.com, penulis, top-two finalis Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2010 dan 2011.

(8) Ustaz Fathuri Sallehudin. Penulis buku Mudahnya Menjemput Rezeki yang terjual _ , _ _ _ _ naskah. Buku yang mencetuskan fenomena negara.

(9) Aqif Azizan. Pengasas Write to Wealth. Pencetus jualan ebook yang membawa nilai jualan RM_ _ _, _ _ _ dalam tempoh tiga bulan menggunakan metodologi yang digunakan ke atas para klien premiumnya.

(10) Wahyudi Yatim. Pengarah Jenama DWE Sdn Bhd. Pernah terlibat secara langsung dalam aktiviti jualan dan pemasaran di rangkaian kedai buku utama dan kedai-kedai buku indie serta jualan di tapak.

(11) Muna Izzah Fadzil. Moderator forum, ahli Tim Pengkaji Hadith Psikologi, alumni Akademi Hero dan KursusPenulisan.Com.


Puan Sri Diah Saharudin

Untuk mendapatkan potongan harga, bolehlah mendaftar sebelum 5 Julai 2013. Maklumat terperinci boleh klik pada laman ini http://www.mypenulis.info/

PSS lihat ia sebuah konvensyen yang akan melahirkan barisan penulis berkualiti dengan kepuasan berganda-ganda. Ia adalah majlis ilmu, merapatkan silaturahim saling berkenalan dan bekerjasama dan wujudnya projek-projek buku juga peluang pasaran yang luas untuk berkarya. Ia sebuah konvensyen yang hebat!